Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Pilihan Selangor, Singapura berentap lagi Sabtu ini

Sebanyak 70,000 penonton dijangka menyaksikan perlawanan bola sepak Piala Sultan Selangor di Stadium Shah Alam pada Sabtu ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengelola dan Pelaksana Piala Sultan Selangor, Tan Sri Abdul Karim Munisar berkata pada masa ini, pihaknya menjual sebanyak 20,000 tiket, manakala baki 50,000 tiket akan diagihkan secara percuma kepada pelajar sekolah dan penduduk negeri ini.

Perlawanan edisi ke-14 itu akan bermula dengan aksi Veteran Selangor menentang Veteran Singapura pada 8 malam, diikuti perlawanan utama antara Pilihan Selangor berdepan Pilihan Singapura pada 9 malam.

"Kita mahukan suasana perlawanan itu seperti karnival dengan pelbagai acara dianjurkan seperti persembahan artis tempatan dan pertunjukan formasi oleh pelajar dari 17 buah sekolah," katanya.

Abdul Karim berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan tiket perlawanan berkenaan di Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), hari ini.

Terdahulu, beliau menyerahkan sebanyak 1,000 tiket kepada ahli majlis MPAJ, jabatan, wakil Kawasan Rukun Tetangga (KRT), kelab penyokong bola sepak dan pelajar sekolah di bawah majlis perbandaran itu.

Untuk rekod, Pilihan Selangor muncul juara tujuh kali - 2001, 2003, 2005, 2008, 2012, 2013 dan 2014, manakala Pilihan Singapura menjulang piala berkenaan sebanyak lima kali pada 2006, 2007, 2009, 2010 dan 2011.

Kedua-dua pasukan muncul juara bersama pada edisi 2004 di Stadium Nasional Kallang, Singapura selepas perlawanan berkesudahan seri 2-2.

- Bernama

Lihat Komen
ADS