Daripada RM930 peruntukkan kepada Kementerian Belia dan Sukan dalam Belanjawan 2016, sebanyak RM242 juta akan digunakan untuk memperkasakan bidang sukan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM145 juta diperlukan untuk mempersiapkan atlet negara bagi menghadapi cabaran Sukan SEA ke-29 dan Sukan Paralimpik ASEAN ke-9 pada 2017 di Kuala Lumpur.

Selain itu, RM75 juta pula diperuntukkan bagi melahirkan jaguh sukan bertaraf dunia melalui Program Pembangunan Podium Sukan Elit dan RM 22 juta dicadangkan untuk membina dua kompleks sukan di Baagan Datoh dan Kuantan.

Sementara itu, RM688 juta daripada jumlah keseluruhan peruntukkan kepada kementerian itu turut membabitkan usaha memperkasakan belia, komuniti dan NGO.

Dalam pembentangan di Dewan Rakyat petang ini, Najib mencadangkan sebanyak RM280 juta diperuntukkan untuk latihan teknikal dan vokasional di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN).

Bagi meningkatkan aktiviti pembangunan belia dalam kegiatan ekonomi dan keusahawanan pula sebanyak RM50 juta daripada peruntukkan itu diperlukan.

Di samping itu, peruntukkan terbesar Kementerian Belia dan Sukan melibatkan RM360 juta untuk menambah baik Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bagi 20,000 pelatih.

Ia melibatkan kurikulum baru seperti kemahiran berfikir secara kreatif dan kemahiran teknikal.