Mengalami kekalahan lagi – kali ini kepada kelab ‘pembunuh gergasi’ pada musim ini – Jose Mourinho enggan melayan media yang menunggu untuk mendapatkan komennya di Upton Park sebentar tadi.

Ternyata ia adalah tengah hari yang malang untuk pengurus yang menggelarkan dirinya sendiri itu sebagai The Special One .

Persembahan hambar The Blues mencatat rekod hambar baru apabila mereka diaibkan anak buah Slaven Bilic dengan 1- 2.

Tidak cukup dengan itu Chelsea ditimpa malang lagi apabila bukan saja pemainnya Nemanja Matic dikenakan kad merah – dan dibuang padang – malah jurulatih skuad utama mereka, Silvino Louro juga dikenakan hukuman sama.

Sejurus kemudian Mourinho sendiri diusir dari tepi padang dan terpaksa menyaksikan perlawanan memedihkan jiwanya itu dari bangku penonton.

Awal bulan ini Mourinho didenda £50,000 dan digantung satu perlawanan kerana mengkritik pengadil selepas mereka kalah kepada Southampton pada 3 Oktober lalu.

Kelalahan tadi adalah yang kelima Mourinho daripada 10 perlawanannya bersama Chelsea pada musim ini.

Detik malang Chelsea bermula pada minit ke-44 apabila Matic menerima kad kuning kedua kerana mengasari Diafra Sakho. Sebelum itu dia menerima kad kuning pertama kerana melakukan kesalahan ke atas Mauro Zarate.

Membantah penyingkiran Matic, pemain Chelsea mengerumuni pengadil Jonathan Moss dan hasilnya, Cesc Fabregas dan Diego Cosa juga menerima kad kuning.

Pemain pertahanan Gary Cahill membertahu BBC Sport, suasana dalam bilik persalinan amat hambar.

“Anda boleh bayangkan bagaimana jika anda kalah. Musim lalu pemain tidak biasa mengalami kekecewaan begini.

“Semua pemain amat kecewa,” katanya.

Pengurus Hammers , Bilic, memberitahu dia tidak berhubung dengan Mourinho sejak wisel penamat ditiupkan.

“Saya memahami apa yang dilaluinya.

“Pada pandangannya, pengadil tidak menyebelahi. Saya juga akan merungut jika ia terjadi kepada kami, tetapi ia adalah soal pandangan,” katanya.

Mengenai penyingkiran Matic, Bilic berkata dia tidak melihat insiden kedua tetapi ketika pemain itu mengasari Zarate, ia memang wajar diberi kad kuning.

“Saya sangat bangga dengan pasukan ini hari ini. Ia detik yang indah apabila anda dapat mengalahkan kelab sebesar Chelsea,” katanya.

Dalam perlawanan awal malam tadi (waktu Malaysia) West Ham mendahului dengan jaringan Zarate pada minit ke-17 sebelum Cahill menyamakan kedudukan di minit ke-56.

Takdir Chelsea akhirnya dipateri bekas pemain Liverpool, Andy Carol di minit ke-79.