Drive M7 guna Honda untuk MotoGP
Pasukan permotoran tempatan, Drive M7 SIC Racing Team, akan menggunakan jentera Honda dengan model NSF250RW untuk kelas Moto3 pada Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) bermula musim depan.
Ini berikutan perjanjian dimeterai hari ini antara Sepang International Circuit (SIC), yang menyokong pasukan itu dengan syarikat Jepun, Honda Racing Corporation (HRC).
Pada musim ini, Drive M7 menggunakan jentera KTM buatan Austria.
Menerusi perjanjian itu, HRC akan membekalkan jentera kepada dua pelumba Drive M7 iaitu pelumba Republik Czech, Jakub Kornfeil dan seorang lagi pelumba pasukan yang akan diumumkan dalam masa terdekat.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata mereka percaya dengan kerjasama baharu itu, kedua-dua pihak akan mendapat manfaat serta membuka peluang untuk mengecapi lebih banyak kejayaan pada musim depan.
"Kami amat berterima kasih kepada HRC untuk membekalkan kami dengan jentera Honda untuk musim depan," katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya dengan perkongsian itu, mereka berharap untuk memindahkan ilmu dan kepakaran daripada pasukan Moto3 kepada pasukan Piala Bakat Asia.
Berkongsi pandangan sama, Naib Presiden (Eksekutif) HRC, Shuhei Nakamoto berkata mereka gembira untuk menjalinkan hubungan dengan Drive M7 kerana menghargai komitmen, semangat dan usaha gigih pasukan itu untuk membangunkan sukan permotoran di rantau ini.
"Kami tidak sabar untuk bekerjasama dan membina sebuah hubungan yang kukuh," katanya.
- Bernama

