Impian untuk ke peringkat suku akhir Piala Malaysia 2015 buat pasukan PDRM tidak pernah padam walaupun menyedari saingan getir terpaksa dilalui menjelang perlawanan kelima malam ini.

Bagi jurulatih skuad The Cops , Fauzi Pilus, barisan pemainnya tidak akan mudah menyerah kalah lebih-lebih lagi apabila beraksi di gelanggang sendiri di Stadium Shah Alam.

Dengan prestasi semasa Pahang yang tewas dua kali berturut-turut - kepada PKNS FC dan Pulau Pinang - sebelum ini, kesempatan itu diharap dapat diambil untuk kembali bernafas dalam saingan kumpulan D.

Kini PDRM menghuni tangga ketiga dengan kutipan lima mata berbanding Pahang di kedudukan kedua mengumpul enam mata masing-masing dengan empat perlawanan.

"Saya yakin dengan kemampuan pemain dan pastinya kedua-dua pasukan perlukan kemenangan. Jika kalah kami terpaksa lupakan hasrat ke peringkat suku akhir, begitu juga peluang untuk Pahang.

"Situasi ini tidak perlu kami takut. Apa yang penting, kami perlu bermain dengan apa cara sekali pun untuk menang," kata Fauzi selepas anak buahnya mencatatkan keputusan seri pada dua perlawanan sebelum ini.

Tambah beliau, Pahang mungkin mencari rentak untuk kembali bangkit selepas persembahan buruk mereka dan situasi itu perlu diambil peluang oleh anak buahnya.

"Saya mahu pemain-pemain mengambil peluang atas dua kekalahan berturut-turut Pahang. Pemain saya perlu bagi tekanan kepada mereka," katanya.

Kontrak mungkin selepas ini

Rekod pertemuan kedua-dua pasukan itu pada aksi pembukaan kumpulan D menyaksikan Pahang menang tipis 3-2 di Stadium Darul Makmur 12 September lalu.

Ditanya mengenai persiapan dan latihan Fauzi berkata, cuaca jerebu yang melanda negara sedikit sebanyak merencatkan persiapan apabila mereka terpaksa mengurangkan sesi latihan demi menjaga kesihatan pemain.

“Buat masa ini kami menumpukan latihan menghadapi perlawanan nanti. Kita terpaksa menunggu sebarang kemungkinan kerana keadaan jerebu ini tidak boleh diduga. Jadi kami terpaksa mengurangkan semua latihan," ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai kontrak pemain PDRM bagi musim depan Fauzi berkata, beliau belum menerima sebarang kenyataan daripada pihak pengurusan buat masa sekarang.

Bagaimanapun beliau berpendapat perkara itu kemungkinan akan dibincangkan dan dipertimbang sekiranya mereka layak ke peringkat suku akhir nanti.

"Kontrak masih belum dinyatakan kerana bergantung kepada keadaan itu. Saya serahkan kepada pihak pengurusan untuk buat keputusan terbaik bagi pemain dan pasukan.

"Kemungkinan (pemain sedia ada) diteruskan jika kami layak namun terserah pada pihak pengurusan,” jelas beliau.