Selangor gilap bakat muda di Akademi Merah Kuning
Kerajaan Selangor akan menyumbang dana sebanyak RM23 juta untuk memajukan bola sepak negeri termasuk membangunkan Akademi Merah Kuning.
Dalam pembentangan bajet yang berlangsung di Shah Alam hari ini, Menteri Besar Selangor, Azmin Ali berkata melalui akademi itu nanti bakat muda akan digilap seawal usia 16 tahun.
"Kegemilangan bola sepak Selangor harus dikembalikan dengan potensi besar yang dimiliki oleh pasukan Selangor pada hari ini.
"Bagi tahun 2016, kerajaan negeri bertekad untuk melakar kecemerlangan dalam sukan bola sepak dengan agenda pembangunan bola sepak yang lebih holistik dan profesional," katanya di Dewan Undangan Negeri Selangor.
Selain itu, menurut Azmin sejumlah RM5 juta juga akan disumbangkan kepada Persatuan Bola sepak Selangor (FAS) dalam usaha memajukan sukan berkenaan.
Beliau berkata, kerajaan mencadangkan perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM25.8 juta untuk sektor sukan, termasuk RM17.68 juta bagi tujuan perbelanjaan pembangunan atlet dan baik pulih infrastruktur sukan.
Stadium kawasan aman
"Kerajaan negeri berhasrat untuk memperkenalkan Sports Tourism (pelancongan sukan) yang merangkumi aktiviti sukan seperti paragliding, badminton, berbasikal, sukan ekstrem, skateboard dan roller blade.
"Aktiviti ini memenuhi citarasa Gen Y yang akan menarik lebih banyak penglibatan dalam usaha untuk melahirkan generasi yang sihat dan cemerlang.
"Justeru, dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan kerajaan negeri bercadang menaik taraf kemudahan sukan paragliding di Bukit Batu Pahat, Kuala Kubu Bharu sebagai persiapan Sukan SEA 2017 serta menarik pelancong sukan tersebut," jelasnya.
Sementara itu, Azmin berkata, kerajaan negeri memandang serius insiden membakar dan melontar suar serta mercun roket ke dalam kawasan padang semasa perlawanan antara Malaysia dengan Arab Saudi pada 8 September lalu di Stadium Shah Alam.
Sehubungan itu tambah beliau, kerajaan negeri telah siap memasang 80 unit kamera litar tertutup (CCTV) di Stadium Shah Alam pada awal Oktober 2015.
"Langkah ini membantu meningkatkan kawalan keselamatan dan memberi keyakinan kepada penonton, pengunjung dan penganjur sukan bahawa Stadium Shah Alam adalah zon yang selamat.
"Kerajaan negeri bertegas mahu budaya samseng dan amalan hooligan dalam sukan dibanteras," kata Adun Bukit Antarabangsa itu.

