Walaupun prestasi buruk menimpa anak buah Jose Mourinho, Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp tetap berwaspada menjelang pertemuan antara The Kop dan The Blues, awal malam ini.
Dalam saingan EPL musim ini, Chelsea seperti kelemasan di ambang kejatuhan apabila sekadar mengutip 11 mata daripada 10 perlawanan dan berada di kedudukan ke-15 liga.
Liverpool pula berharap nasib dan tuah kembali menyertai mereka sejak Klopp berjaya dibawa ke Anfield.
Klopp berkata, Chelsea sebuah kelab yang sukar untuk ditewaskan dan dibarisi ramai bintang bola sepak.
"(Diego) Costa, Ramires dan (Nemanja) Matic adalah pemain yang hebat. Kemudian mereka ada (Gary) Cahill dan (John) Terry yang memang pemain bernama besar.
"Saya tak yakin kami boleh melawan mereka dengan mudah," katanya.
Sejak mengambil alih kerusi Brendan Rodgers, Klopp mengharungi empat perlawanan bersama Liverpool dan hanya satu perlawanan yang dimenangi. Selebihnya mereka mencatatkan keputusan seri.
"Adakah barisan pemain Chelsea masih tahu bermain bola sepak? Sudah semestinya," kata jurulatih berusia 48 tahun itu.
Berbanding Chelsea, Liverpool kini berada di kedudukan kesembilan EPL dengan kutipan 14 mata.
Mereka ketinggalan lapan mata berbanding Manchester City di tangga teratas liga.
