Kembara The Kop (4): Liverpool 'sangat teruk'
Ikuti bahagian keempat kisah pengalaman bekas wartawan merantau sambil mengumpul pengalaman berharga di tanah tempat tumpah 'cintanya' - Liverpool.
Jika sebelum ini Aliff Fikri bercerita tentang suasana stadium, kali ini dia bercerita tentang 'kebahagiaan' menjadi tetamu di Liverpool.
Ketika aku berbual-bual dengan penyokong The Kop, ada satu cerita disampaikan. Kata mereka, semasa Jurgen Klopp mula-mula bermesyuarat di Melwood (tempat latihan Liverpool), dia hanya tulis satu perkataan saja di papan putih.
Perkataan itu menggambarkan keadaan Liverpool - di mata Klopp - di bawah Brendan Rodgers.
Apa yang ditulis Klopp? Dia tulis: Terrible. Kalau dalam bahasa Melayu aku rasa perkataan sesuai ialah "sangat teruk".
Kebanyakan penyokong lega apabila kami menang baru-baru ini, tapi penyokong di sini juga percaya kepada passion Klopp.
Mereka yakin dia dapat membawa The Kop ke tahap terbaik semula walaupun ia mungkin akan mengambil masa agak lama.
Penyokong sekarang semua lebih teruja untuk menyaksikan perlawanan Liverpool dengan Chelsea (pada 8.45 malam ini waktu Malaysia). Semacam ada persefahaman di kalangan penyokong The Kop iaitu mahu memastikan Jose Mourinho dipecat selepas perlawanan di Stamford Bridge nanti.
Sorak macam orang gila
Kebanyakan penyokong masih berdendam terhadap kes dua tahun lalu apabila Liverpool berada di tahap terbaik untuk menang dan Chelsea pula tidak rugi apa-apa kalau kalau, namun di atas padang Mourinho memilih untuk parking sembilan buah bas di depan pintu golnya.
Kemudian dia bersorak macam orang gil apabila dapat kalahkan Liverpool, padahal kalau dia kalah pun, Chelsea tak rugi apa-apa.
Setakat ini kami masih belum betul-betul berpuas hati . Dalam skuad Klopp belum ada pemain yang boleh jadi penjaring gol sebenar tanpa kehadiran Christian Benteke dan Daniel Sturridge.
Entahlah, sampai bila masalah ini tak boleh diselesaikan.
Sementara itu, aku sengaja nak cerita - sekarang di Liverpool di hujung musim luruh dan nak masuk musim sejuk.
Biasanya aku akan lepak-lepak di Albert Dock atau berjalan-jalan di sekitar Liverpool.
Hidup di sini agak mudah, sebenarnya. Kalau kau bersiar-siar, secara tak sengaja akan dapat kawan baru sebab penduduk di sini peramah.
Kedai Cina murah, sedap
Aku pergi lawat muzium, lepak di pusat bandar, kawasan universiti, kedai buku. Kadang-kadang berjoging, tengok orang busking, lepak celah lorong (kadang-kadang ada mamat Scouse datang offer ganja, tapi takkan aku nak ambik). Ada masa lain, tengok filem.
Kurang lebih, begitulah hidup aku sekarang di sini.
Kos sara hidup di sini juga sangat sederhana. Kau janganlah tukarkan nilai pound kepada ringgit untuk buat penilaian. Itu tak adil dan mengelirukan.
Untuk aku seorang, kos makan minum sehari cuma kira-kira £5 saja. Sekali pesan, hidangan yang datang "besar nak mampus". Biasanya aku makan tak habis. Bungkus bawa balik bilik di Tabley Street dan sambung makan pada malam.
Untuk pergi ke Anfield, aku akan naik bas dan dalam tempoh 10 minit, dah sampai. Tambang juga murah - £10 untuk tiket seminggu.
Kalau nak ke Manchester atau Dublin, beli tiket bas £5 sudah boleh dapat, padahal jaraknya jauh.
Oh ya. Untuk pengetahuan kau, dekat The Albert, ada sebuah kedai makan Cina yang murah dan sedap. Nama kedai itu, Sing Fong.
Tapi yang lebih penting daripada sedap dan murah ialah, tauke kedai Sing Fong seorang Scouse!
Siri 1: Kembara The Kop: Dari Pudu ke Anfield

