Selepas hampir tiga bulan insiden kekecohan penonton ketika perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 yang mempertemukan Malaysia dan Arab Saudi di Stadium Shah Alam 8 September, FAM akhirnya dihukum.

Namun, anggapan awal hukuman berat bakal dikenakan Pesuruhjaya Sukan Malaysia ke atas badan induk bola sepak negara itu nampaknya meleset sama sekali.

Setelah membuat penelitian terhadap surat penjelasan daripada FAM, Pesuruhjaya Sukan Malaysia, Datuk Zaiton Othman berpendapat masih terdapat kelemahan yang boleh diperbaiki dalam usaha menangani isu dan permasalahan tersebut.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, Zaiton bersetuju FAM bertanggungjawab sepenuhnya ke atas insiden tersebut dan memutuskan perlu mengambil tindakan segera dalam melaksanakan tiga perkara ditetapkan.

"Pertama, memperketatkan peraturan sedia ada supaya lebih kemas dan teratur dengan mewujudkan tatacara crowd management measures (langkah pengurusan penonton) bersama pihak pengurusan stadium.

"Kedua, memperkemaskan dan memperketatkan tatacara operasi standard (SOP) keselamatan dengan lebih terperinci untuk jaminan keselamatan yang lebih baik dan efisien.

"Ketiga, FAM perlu menambah baik sistem saringan pemeriksaan penonton termasuk ke atas peniaga yang terlibat di dalam venue," katanya dalam kenyataan kepada media, semalam.

Ada kemungkinan gantung

Dalam kejadian September lalu, berlaku kekecohan apabila penonton membaling suar serta mercun ke tengah padang sehingga menyebabkan perlawanan antara Malaysia dan Arab Saudi dihentikan.

Ketika itu kedudukan Arab Saudi berada di depan dengan 2 - 1.

Ekoran kekecohan itu Fifa kemudian membuat keputusan Malaysia dianggap kalah dengan jaringan 0 -3.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar juga berpendapat FAM wajar dikenakan hukuman tegas dan tidak menolak kemungkinan badan itu digantung ekoran insiden tersebut.

Fifa juga mengenakan denda terhadap FAM sebanyak RM180,000.

Satu lagi hukuman untuk Malaysia ialah skuad kebangsaan diarah bermain satu perlawanan tanpa penyokong dan ia dilangsungkan ketika Harimau Malaya menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 17 November lalu.

Sehubungan itu, Hamidin ( gambar ) berkata, FAM mengambil maklum semua saranan dikemukakan pihak Pesuruhjaya Sukan Malaysia tersebut.

"Di peringkat FAM, kami akan mengambil tindakan sewajarnya supaya tiga perkara tersebut dapat dilaksanakan segera bagi memastikan insiden seperti yang berlaku itu tidak berulang lagi.

"Setakat ini, FAM melalui Jawatankuasa Keselamatan yang dipengerusikan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim telah mengambil beberapa langkah susulan," jelas beliau.

Tambahnya, FAM telah memperkenalkan satu peraturan khas yang bakal dijadikan asas untuk aspek kawalan dan keselamatan stadium termasuk hal menjaga ketenteraman dan harta benda awam.

Katanya, peraturan itu nanti akan turut menyediakan SOP kawalan keselamatan stadium, bukan sekadar untuk perlawanan antarabangsa, bahkan juga semasa penganjuran pertandingan-pertandingan peringkat domestik.

"Pembentukan peraturan yang masih lagi dalam proses penyediaan peringkat awal itu akan turut mengambil kira konsep dan amalan yang dibuat di peringkat Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) dan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa)," katanya.