Lewandowski penjaring 5 gol terpantas dunia
Penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski menerima pengiktirafan daripada Guinness Book of Records selepas mencatatkan lima jaringan terpantas sekali gus memecah rekod terdahulu.
Lewandoski hanya memerlukan lapan minit 59 saat untuk menjaring lima gol buat The Bavarians selepas masuk sebagai pemain gantian separuh masa kedua dalam perlawanan bertemu Wolfsburg, 22 September lalu.
Perlawanan itu menyaksikan kemenangan besar Bayern dengan keputusan 5 - 1 dalam saingan Bundesliga.
"Ini merupakan malam bersejarah kepada saya," kata Lewandowski yang menerima empat sijil penghargaan.
Dia mencipta rekod tiga gol terpantas dengan tempoh tiga minit 22 saat; empat gol terpantas dengan lima minit 42 saat dan lima gol terpantas sekali gus pemain pertama sepanjang sejarah Liga Jerman yang menjaringkan gol sebegitu sebagai pemain gantian.
"Pencapaian ini amat menggembirakan, begitu juga dengan keluarga yang dilihat teramat gembira dengan pencapaian saya," kata.
Sementara itu, Lewandowski turut menyatakan hasrat untuk menyumbang koleksi kasut bola yang digunakan pada perlawanan bersejarah itu untuk kerja amal.
Dengan pencapaian tersebut, pemain kebangsaan Poland dan berusia 27 tahun itu tetap gagal memecah rekod Dieter Mueller yang menjaringkan enam gol dalam satu perlawanan.
Lewandowski yang juga bekas pemain Borussia Dortmund kini menyumbang 14 gol buat kelabnya sepanjang musim ini. Dia berada di posisi kedua selepas penyerang Dortmund, Pierre-Emerick Aubameyang yang menjaringkan 17 gol dalam 14 perlawanan.
Selain itu, sejarah Bundesliga menobatkan legenda Bayern, Gerd Mueller sebagai pemegang rekod 40 gol dalam liga tersebut bagi musim 1971 - 1972.

