Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
JDT tewas, TMJ tidak kecewa
Diterbitkan:  Dec 2, 2015 1:27 PM
Dikemaskini: 5:30 AM

Walaupun tewas di peringkat suku akhir Piala Malaysia, gergasi bola sepak selatan tanah air, JDT berpuas hati dengan sejarah yang dicipta sepanjang musim 2015.

Malah, Penaung Diraja Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyifatkan beliau sama sekali tidak kecewa apabila JDT tewas kepada Felda United.

"Setelah menjulang Piala AFC, saya amat gembira. Piala Malaysia merupakan kejohanan yang berprestij, tetapi ia bukan sasaran kita.

"Felda adalah sebuah pasukan yang handal, mereka telah mengalahkan kita di Larkin, sesuatu yang bukan banyak pasukan mampu lakukan.

"Jadi saya ucapkan selamat maju jaya kepada mereka dan pasukan lain dalam saingan Piala Malaysia," kata Tengku Mahkota Johor (TMJ) dalam temuramah yang disiarkan di Facebook Johor Southern Tigers.

Sabtu lalu, JDT dikejutkan dengan kekalahan 1-2 kepada Felda United di stadium keramat mereka sekali gus tersingkir daripada saingan Piala Malaysia dengan agregat 2-3.

TMJ turut menyifatkan beliau amat berpuas hati dan amat gembira dengan kejayaan skuad Harimau Selatan sepanjang musim ini.

"Kita telah mencipta sejarah, pencapaian yang hebat bagi sebuah kelab yang setahun jagung.

"Saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada seluruh penyokong JDT, para pemain, staf, penaja dan warga pengurusan PBNJ," katanya.

Ditanya perancangan musim hadapan, TMJ berkata, JDT mensasarkan kelayakan ke Liga Juara-juara Asia selepas kejayaan menjulang Piala AFC 2015.

"Kita tidak menetapkan sasaran yang tinggi, hanya untuk menduduki antara empat tangga teratas dalam liga.

"Persaingan untuk musim hadapan tentu amat kompetitif dan kita amat teruja untuk bekerjasama dengan Adidas," jelas beliau.

Sementara itu, Tunku Ismail menyifatkan pasukan Felda United dan Pahang sebagai pasukan terbaik di kancah bola sepak Malaysia.

Katanya, pilihan tersebut adalah berdasarkan pendapat penyokong bola sepak negara yang menganggap pasukan itu adalah terbaik, sebaliknya bukan JDT.

Lihat Komen
ADS