Piala Malaysia: Kedah gagah, Pahang kabur
Kedah boleh dipuji kerana kekentalan semangat pemainnya yang bangkit menyamakan kedudukan selepas tercicir gol sebanyak dua kali di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
Felda United mengejutkan pelawat seawal minit ke-14 melalui jaringan import Fernandes Thiago Augusto.
Tidak tenggelam punca, Kedah mengatur gerak tersusun dan hasilnya Sandro Da Silva menemui penyudah untuk melepasi penjaga gol Felda United dan kedudukan terikat 1 - 1.
Permainan seimbang di separuh masa pertama bertukar rentak apabila Kedah cuba mendominasi penguasaan bola di babak masa kedua.
Di sebalik kesungguhan itu, anak buah Tan Cheng Hoe melakukan kesilapan di posisi pertahanan dan membuka ruang untuk Thiago Augusto menjaringkan gol kedua Felda di minit ke-55.
Mengalah? Tidak.
Memerlukan bekal yang kukuh sebelum beraksi di padang sendiri, pemain Kedah terus mengasak ke kubu Felda United berkali-kali sehinggalah Chidi Edeh melihat ada peluang terhidang.
Dalam tempoh lapan minit selepas tercicir gol kali kedua, Kedah menyamakan kedudukan dan mengikat perlawanan dengan keputusan 2 - 2 sehingga wisel penamat ditiupkan.
Kecekalan Kedah itu wajar disegani lawan kerana pasukan yang dihadapi mereka malam tadi adalah kelab yang menumpaskan juara Piala AFC 2015, JDT.
Penyudah tak sempurna
Kedah dan Felda United akan bertemu sekali lagi - dalam pusingan kedua separuh akhir - di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 6 Disember ini.
Sementara itu langkah Pahang untuk mempertahankan Piala Malaysia ternyata masih kabur selepas diikat dengan keputusan seri tanpa jaringan ketika ditentang Selangor di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi.
Pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia itu, hasrat anak buah Zainal Abidin Hassan (
gambar
) membawa bekalan selesa ke perlawanan kedua di gelanggang lawan nampaknya tidak menjadi.
Rentak permainan pantas, penguasaan bola dan serangan tuan rumah ke kubu pertahanan skuad The Red Giants gagal menemui sentuhan penyudah yang sempurna.
Sementara pasukan pelawat pula dilihat terpaksa bertahan dengan asakan demi asakan skuad Tok Gajah.
Dari awal permainan Pahang mencatur serangan melalui pelbagai sudut, namun idea yang dizahirkan pemain gagal memperdayakan pemain Selangor.
Malah kekentalan penyerang sandaran Zainal Abidin, Dickson Nwakaeme juga gagal untuk membolosi gawang bekas juara Piala Malaysia sebanyak 32 kali itu.
Sementara itu, cerita berbeza berlaku di Stadium Majlis Perbandaran Selayang apabila Felda United bertemu Kedah.

