Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Blade Runner memang berniat bunuh kekasih
Diterbitkan:  Dec 3, 2015 5:16 PM
Dikemaskini: 9:56 AM

Mahkamah Agung Rayuan di Bloemfontein, Afrika Selatan mendapati atlet Olimpik negara itu, Oscar Pistorius, bersalah membunuh teman wanitanya, Reeva Steenkamp yang ketika itu berlindung dalam tandas rumah mereka.

Kejadian berlaku pada pagi Hari Valentine 2013.

Keputusan itu sekali gus membatalkan penghakiman terdahulu yang mendapati Pistorius bersalah atas dakwaan membunuh tanpa niat dan menetapkan dia dipenjara lima tahun.

Ketika ini Pistorius yang digelar Blade Runner diletakkan di bawah tahanan dalam rumah sebagai sebahagian daripada pelaksanaan hukuman asal.

Mengikut undang-undang Afrika Selatan, seseorang yang dijel boleh diletakkan di bawah pengawasan dalam rumah selepas menjalani satu perenam daripada tempoh sebenar tahanan.

Dengan keputusan terbaru itu Pistorius perlu hadir di mahkamah sekali lagi untuk mendengar hukuman yang akan dikenakan terhadapnya bagi tuduhan membunuh.

Dalam penghakiman hari ini, mahkamah mendapati hakim terdahulu tidak bertindak betul apabila mengambil kira faktor dolus eventualis untuk menghakimi tertuduh.

Dolus eventualis bermaksud keadaan seseorang tidak menyedari tindakannya boleh menyebabkan kematian.

Membacakan keputusan dibuat panel lima hakim itu, wakil mereka, Lorimer Leach berkata dengan melengkapkan diri bersama senjata api berbahaya, Pistorius tentu mengetahui tindakannya melepaskan tembakan ke arah pintu tandas tempat kekasihnya berlindung boleh menyebabkan kematian.

Disangka penceroboh

Dalam kejadian di Pretoria pada 14 Februari 2013 itu, Pistorius menembak mati Reeva yang juga model Afrika Selatan, yang kononnya didakwa disangka sebagai penceroboh rumah mereka.

Perbicaraan dramatik berlangung mulai 3 Mac 2014 dan menyaksikan Pistorius diarah menjalani pemeriksaan mental bagi memastikan dia boleh dipertanggungjawabkan atas pembunuhan berkenaan.

Kes itu digulung peguam bela pada 8 Julai.

Sementara itu peguam Pistorius berhujah atlet terbabit ada sebab untuk mempercayai rumahnya dimasuki penceroboh.

Justeru, Pistorius ada alasan untuk melepaskan tembakan kepada individu yang disangkanya pencuri.

Bagaimanapun hakim berpendapat identiti individu yang berlindung di sebalik pintu bilik tandas rumah Pistorius tidak relevan untuk dipertimbangkan sebelum penghakiman dibuat.

Pistorius boleh mencabar keputusan hari ini dengan merujuk kesnya kepada Mahkamah Perlembagaan namun hanya peguamnya boleh berhujah di situ.

Pakar undang-undang, Mannie Witz, memberitahu BBC setakat ini dia tidak melihat ada asas untuk Pistorius membuat rayuan begitu.

Lihat Komen
ADS