ABL: Dragons tebus kekalahan di Saigon, raih 110 mata
Westports Malaysia Dragons mengatasi Mono Vampire sebanyak 38 mata dengan 110-72 dalam Liga Bola Keranjang Asean (ABL).
Ini merupakan kali ketiga buat Malaysia Dragons merangkul lebih 100 mata dalam liga bola keranjang itu.
Malaysia Dragons pernah merekodkan perbezaan mata terbanyak dalam perlawanan dengan Laskar Dreya South Sumatera musim lalu dengan 42 mata.
Pasukan Malaysia mencipta sejarah dengan perbezaan mata yang terbanyak setakat ini dalam musim ini.
Akan tetapi, pada permulaan suku keempat perlawanan tersebut, Reginald Johnson dari Malaysia Dragons membuat jaringan 'dunk', lantas mengakibatkan rim bola keranjang patah dan perlawanan terhenti kira-kira 10 minit untuk membaikinya.
Dragons masih di hadapan dengan jaringan 98 berbanding 55 mata.
Johnson, 26, dari Amerika Syarikat, juga memberitahu bahawa ini bukanlah pengalaman kali pertama beliau, malah kali keempat beliau 'mematahkan' rim bola keranjang.
Tamu dari Thailand
Pemain 208kg itu turut disertai keluarga beliau yang baru sampai di Malaysia untuk menyaksikan perlawanan.
Ketua jurulatih Malaysia Dragons, Ariel Vanguardia memberitahu ketika sidang media bahawa beliau berpuas hati dengan pencapaian anak buahnya dalam latihan intensif selepas kekalahan di Vietnam.
"Kita dimalukan ketika di Saigon tetapi inilah sikap yang harus diamalkan oleh setiap pemain Dragons untuk terus mara ke hadapan dalam liga ABL.
"Walaupun dengan kemenangan yang besar hari ini, pasukan Dragons perlu mengenal kesuntukan dan betapa pentingnya setiap perlawanan untuk mencapai sasaran kita.
“Bukannya untuk ke suku akhir sahaja, tetapi saya ingin membawa pasukan Malaysia ke tahap yang lebih tinggi lagi," Vanguardia berkata.
Vanguardia turut menyatakan bahawa perlawanan pada minggu depan dengan juara ABL musim lalu, Hi Tech Bangkok City bukanlah suatu cabaran yang mudah.
Malaysia Dragons memberikan cabaran 'getir' buat tetamu dari Thailand itu.
Vampire tak bermaya
Malaysia Dragons menunjukkan taringnya sejak dari permulaan perlawanan dan mendahului Mono Vampire sebanyak 10 mata selepas jaringan dua mata tepat pada masa penamat oleh Kuek Tian Yuan. Dragons di hadapan Vampire, 27-17.
Nasib malang tetap menyelubungi Mono Vampire di gelanggang Malaysia apabila Malaysia Dragons terus menjaringkan mata demi mata oleh Reginald Johnson and Kwaan Yoong Jing sebanyak 12 mata pada 5 minit pertama suku kedua.
Corak permainan Vampire kelihatan 'tidak bermaya' berbanding dengan prestasi mereka dua minggu lalu di Kuala Lumpur yang lebih mantap dan kemas. Suku kedua berakhir dengan perbezaan mata yang lebih besar, 63-36.
Sebagai tuan rumah, Malaysia Dragons langsung tidak memberi 'muka' untuk Mono Vampire melangkah rapi walau seinci pun.
Suku ketiga masih menyebelahi Dragons dengan 89-55, dan jaringan sebanyak 26 mata dalam suku tersebut turut disumbangkan oleh beberapa pemain tempatan seperti Wong Yi Hou, Ma Chee Kheun dan Ivan Yeo.
Semakin mendekat bibit pengakhiran perlawanan, ketua jurulatih Dragons Ariel Vanguardia meletakkan kelima-lima pemain tempatan pada 3 minit terakhir perlawanan. Perlawanan berakhir dengan jaringan 110 berbanding 72 mata.
Matthew Wright dari Dragons menjaringkan 23 mata, 4 rebounds dan 4 assist manakala Reginald Johnson merekodkan jaringan 30 mata dan 5 rebounds.

