Debaran separuh akhir Liga Sepak Takraw
Bakal berlangsung pada Sabtu ini, empat pasukan terhebat bersaing sesama sendiri di peringkat separuh akhir Liga Sepak Takraw 2015.
Black Panthers, Gomo Warriors, City Flyers dan Armed Forces masing-masing berdepan cabaran tersendiri sebelum menempah tiket ke perlawanan akhir, keesokan harinya.
Apa yang lebih menarik adalah kebangkitan pasukan dari Kelantan - Gomo Warriors - yang tampil garang dengan mencatat kemenangan empat perlawanan berturut-turut sekali gus melangkah ke separuh akhir.
Kebangkitan mengejut skuad bimbingan Baharil Anuar itu berlaku selepas mereka tumpas pada tiga perlawanan terawal dan berdepan cabaran sukar apabila bakal berdepan Black Panthers.
Black Panthers yang juga wakil Pulau Pinang itu mencatatkan rekod tanpa kalah dalam semua tujuh perlawanan dan dianggap sebagai pasukan pilihan ke slot final.
Namun Baharil berpendapat, pasukannya sudah pun menyerlahkan potensi sebenar untuk mencabar kejuaraan selepas aksi permulaan yang hambar.
“Sebenarnya kita dari awal menyasarkan layak ke separuh akhir, tetapi kita bermula agak perlahan dan pemain mengambil masa untuk dapatkan mood mereka untuk kembali dalam saingan.
"Kita perbaiki kualiti servis, mencuba gandingan berbeza ditambah pula dengan sedikit rombakan strategi dan taktikal, ianya berjaya mengeluarkan hasil terbaik daripada pemain," katanya dipetik laman web rasmi kejohanan tersebut.
Kunci utama fokus
Mengulas cabaran dihadapi di separuh akhir nanti, Baharil berkata, Gomo Warriors mahu menjadi pasukan pertama yang mengalahkan Black Panthers.
“Black Panthers saya akui pasukan cukup bagus. Belum ada pasukan yang tewaskan mereka dan kami mahu melakukannya. Saya yakin jika pemain beraksi seperti empat perlawanan terakhir, ia boleh berlaku.
"Pemain perlu mengikut setiap arahan dan strategi yang kita susun, pastinya kita boleh tewaskan mana-mana pasukan,” katanya.
Terdahulu, Gomo Warriors bangkit menewaskan City Flyers, Northern Rangers serta Southern Tigris untuk mengesahkan kemaraan ke separuh akhir selepas menjinakkan Green Titans 3 - 0 pada hari terakhir perlawanan peringkat kumpulan.
Bagaiamanapun, mereka bernasib baik apabila dibantu oleh kekalahan East Coast Surfers kepada Black Panthers.
Selain itu, percaturan Baharil merombak regu ketiga khususnya selepas kekalahan kepada East Coast dengan merehatkan tekong berpengalaman, Normanizam Ahmad (kerana kepenatan), membuahkan hasil apabila penggantinya Khairul Hisyam menunjukkan persefahaman cemerlang bersama Aidil Azman Azwawi dan Wan Naim Azmi.
Lebih menarik apabila regu ketiga Gomo Warriors masih belum tewas sejak kekalahan kepada East Coast pada perlawanan ketiga dan tampil konsisten memenangi kesemua empat aksi terakhir.
Regu tersebut dijangka akan menjadi senjata Gomo Warriors untuk mengutip mata apabila menentang Black Panthers.
“Kunci utama adalah fokus dan tidak mudah berputus asa.
"Kami perlu kekal konsisten dan tidak terlalu fikir untuk menang. Jurulatih mungkin buat penggiliran pemain mengikut strategi, jadi setiap pemain perlu bersedia memberi komitmen 100 peratus,” jelas Wan Naim.
Selain regu ketiga menjadi sandaran, Gomo Warriors juga meletakkan harapan kepada Naib Juara Grand Prix Kebangsaan 2015 awal Oktober lalu iaitu Hisham Mat, Malek Faqimi Idris dan Yusry Yusof yang membarisi regu pertama serta kelibat pemain kebangsaan Farhan Adam, Idham Sulaiman dan Afifudin Razali.

