Liga Juara-juara: Kalau sudah rezeki Arsenal
Malap dan dingin di peringkat awal namun menyengat ketika keadaan memerlukan - begitu dibuktikan pasukan Arsenal apabila mereka berjaya menempatkan diri bersama 15 pasukan lain ke pusingan kalah mati Liga Juara-juara.
Berbekalkan kemenangan selesa 3 - 0 ke atas Olympiakos pagi tadi, Arsenal berada di tempat kedua kumpulan F dengan sembilan mata hasil tiga kemenangan.
Tiga lagi perlawanan dilalui Arsenal berakhir dengan kekalahan kepada The Gunners.
Pengurusnya, Arsene Wenger menyifatkan kemenangan ke atas Olympiakos pada aksi terakhir peringkat kumpulan adalah detik istimewa.
Sebelum ini Asenal tumpas 2 - 3 kepada Olympiakos pada 29 September lalu. Sejak itu nasib Arsenal bagai terumbang-ambing sehingga ada pihak meramalkan nasib kelab berkenaan akan seburuk Liverpool.
Sebenarnya perlawanan di Stadium Georgios Karaiskaki awal pagi tadi (waktu Malaysia) berlangsung tanpa beberapa tunggak utama Arsenal.
"Kami memerlukan sesuatu yang istimewa untuk mengubah keadaan dalam perlawanan begini. Kami mempamerkan penampilan sempurna baik dari aspek mental dan taktikal," kata Wenger.
Arsenal membuktikan kemampuan mereka walaupun tidak diperkuat dengan kelibat Francis Coquelin, Santi Cazorla dan Alexis Sanches yang mengalami kecederaan.
Hanya kelibat Oliver Giroud digunakan sepenuh oleh jentera Arsenal untuk membolosi gawang tuan rumah sekali gus mencipta rekod hatrik peribadinya.
"Dengan pelbagai kecederaan, kami bukan pasukan pilihan. Tetapi, anda dapat lihat hari ini, mencipta gol tanpa dibolosi bukan pekerjaan mudah," katanya.
Kelab lain yang layak ke pusingan kalah mati ialah Real Madrid, Paris St Germain, Wolfsburg, PSV Eindhoven, Atletico Madrid, Benfica, Manchester City, Juventus, Barcelona, AS Roma, Bayern Munich, Chelsea, Dynamo Kyiv, Zenit St Petersburg dan AA Gent.
Keputusan lain
AS Roma 0 - 0 BATE
Dynamo Kyiv 1 - 0 Maccabi Tel-Aviv
Chelsea 2 - 0 Porto
AA Gent 2 - 1 Zenit St Petersburg
Barcelona 1 - 1 Bayern Leverkusen
Valencia 0 - 2 Lyon
Dinamo Zagreb 0 - 2 Bayern Munih

