Felicia tak diendah? Janganlah begitu, kata KJ
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar menafikan kepulangan atlet paralimpik negara, Felicia Mikat, hanya disambut ahli keluarganya di lapangan terbang.
Menurut Khairy, beliau sudah mendapat pengesahan daripada pihak yang berkenaan, turut berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada hari berkenaan ialah pegawai sukan Sabah.
Turut meraikan kepulangan Felicia ialah Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Shapawi Ismail.
"Saya telah mendapat pengesahan daripada Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Tawfiq Titingan bahawa pegawai sukan Sabah memang ada di lapangan terbang sebab mereka telah pun mengiringi Felicia dari Kota Kinabalu ke Singapura dan balik semula ke Kota Kinabalu," kata beliau dalam kemas kini di Facebook.
Felicia adalah atlet pecut negara yang berjaya merangkul tiga pingat emas dalam temasya Sukan Para Asean 2015 di Singapura minggu lalu.
Tiba-tiba ambil tahu
Atlet dengan masalah penglihatan dan berusia 16 tahun itu mengungguli acara larian 100 meter, 200 meter dan 400 meter.
Bernama semalam melaporkan kejayaan Felicia menjadi viral apabila seorang pengguna Facebook memuat turun gambarnya "yang hanya disambut ahli keluarga" di lapangan terbang.
Kata Khairy, beliau percaya individu yang muat naik gambar kepulangan Felicia mempunyai niat yang baik namun gambaran diberi mengelirukan kerana memperlihatkan seolah-olah kerajaan tidak menghargai atlet paralimpik.
"Ini sama sekali tidak betul.
"Contohnya, ramai yang tidak tahu insentif kemenangan untuk atlet para sama dengan atlet biasa sejak dua tahun lepas.
"Dahulu atlet para hanya dapat 30 peratus daripada apa yang atlet biasa dapat. Tidak banyak negara mengamalkan insentif sama rata untuk atlet biasa dan para," kata Khairy.
Justeru, kata Khairy, beliau berharap lebih ramai peminat sukan menyokong atlet para.
"Jangan bila ada posting sensasi di media sosial saja tiba-tiba nak ambil tahu tentang kejayaan mereka.
"Selama kejohanan Sukan Para Asean saya sentiasa kemas kini Twitter saya tentang keputusan kontinjen kita.
"Ramai yang tidak peduli. Hanya sekarang nak tunjuk prihatin. Janganlah begitu," katanya.

