Badminton kini menjadi sukan nombor satu negara selepas mempamerkan prestasi memberangsangkan berbanding acara lain, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Menurut beliau, ukuran itu berdasarkan pencapaian semasa sukan badminton khususnya di peringkat antarabangsa.

Walaupun tidak menafikan bola sepak sebagai sukan paling popular, Khairy berpendapat ‎badminton membuktikan perkembangan positif baik dalam kategori senior mahu pun remaja.

‎"Bola sepak popular di mana sahaja, tetapi dilihat dari segi prestasi dan pencapaian (negara) badminton menunjukkan perkembangan positif.

"Kita juga dapat lihat ramai pemain badminton yang boleh menggantikan Datuk Lee Chong Wei," katanya kepada media selepas menghadiri program Legend's Vision di Kuala Lumpur hari ini.

Legend's Vision adalah siri jelajah badminton di seluruh dunia dan Malaysia adalah lokasi keempat - dan terakhir - dalam siri berkenaan.

Sidang media hari ini turut dihadiri dua lagi bekas bintang dunia, iaitu Taufik Hidayat dari Indonesia dan Peter Gade (Denmark).

Pada petang ini mereka terbabit dalam perlawanan pertunjukan di Stadium Badminton Cheras.

Khairy berkata, pengganti Chong Wei mungkin bukan di kalangan pemain perseorangan lelaki sahaja.

‎"Misalnya Goh Jin Wei boleh muncul juara dunia perseorangan remaja wanita. Secara tidak langsung dapat mengurangkan kebergantungan kita kepada Chong Wei sahaja," katanya.

Harap terus berkhidmat

Sementara itu ditanya sama ada Chong Wei akan beraksi pada temasya Sukan SEA 2017, Khairy berkata keputusan itu terserah kepada jaguh itu sendiri.

"Dia beritahu dia tidak pernah menang pingat emas di Sukan SEA. Dalam konteks kerjayanya, pingat tersebut mungkin kecil, tetapi dia kata hendak bermain juga. Mungkin itu antara yang terakhir dalam kerjayanya.

"Kebiasaanya kita ‎hantar pasukan kedua (pelapis), tetapi atas sebab nilai sentimental dan Chong Wei hendak bermain, mungkin kita bagilah," katanya.

‎Dalam pada itu, Khairy berharap pemain nombor satu negara itu dapat meneruskan khidmat beliau kepada pembangunan badminton negara walaupun selepas beraksi di Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil tahun depan.

"Prinsip dan disiplin tinggi diamalkan Chong Wei perlu dicontohi pemain lain khususnya pemain muda untuk mencapai tahap tertinggi sukan badminton.

"Chong Wei juga mempunyai semangat yang tinggi selain mengamalkan cara hidup sebagai atlet profesional dengan mengambil berat soal pengurusan masa dan sains sukan," jelasnya.