Peluang menonton aksi perlawanan badminton secara langsung mungkin sudah biasa bagi sesetengah orang‎, namun keterujaan berbeza dirasai jika dapat melihat dari dekat barisan pemain terkemuka dunia.

Kehadiran jaguh badminton Malaysia, Datuk Lee Chong Wei, legenda Indonesia, Taufik Hidayat dan bintang Denmark, Peter Gade menggamatkan Stadium Badminton Negara sempena program The Legends Vision anjuran Yonex Malaysia semalam.

Walaupun penampilan bintang badminton dunia tersebut hanya sekadar menyertai perlawanan pertunjukan, namun ia ‎dilihat dapat membakar semangat penonton yang baru berjinak-jinak dalam sukan badminton.

Bagi T Gauzalya, 43, beliau mengambil kesempatan untuk membawa tiga anaknya ke program tersebut.

"Ini satu pendedahan yang baik untuk anak-anak saya terutamanya untuk mendapat inspirasi daripada atlet idola mereka.

"Walaupun sekadar perlawanan persembahan, apa yang penting adalah perkongsian yang ditunjukkan oleh pemain-pemain handal seperti Chong Wei dan Taufik," katanya kepada Malaysiakini .

Selain perlawanan persembahan, tiga bintang badminton tersebut turut terlibat dalam klinik badminton yang disediakan penganjur kepada peserta remaja.

Bagi Muhamad Fazriq Razif, 11, peluang bermain dengan Chong Wei dan ‎Taufik sangat mengujakannya.

"Walaupun sebentar, saya rasa begitu seronok dapat beraksi dan belajar dengan pemain idola saya.

"Insya-Allah pengalaman ini menjadi semangat untuk saya melangkah lebih jauh dalam sukan badminton," katanya yang juga anak bekas bintang beregu negara, Razif Sidek.

Selain tiga jaguh tersebut, The Legends Vision turut menampilkan beberapa bekas pemain kebangsaan seperti Cheah Soon Kit, Datin Woon Mew Choo dan Minaiky Rexy dari Indonesia.

Sementara itu, pada aksi perlawanan pembukaan, pasangan Chong Wei dan Soon Kit tampil menewaskan beregu ‎Gade dan Rexy dengan aksi yang menghiburkan penonton.

Program The Legend Vision merupakan satu siri jelajah Yonex bersama pemain badminton dunia ke beberapa negara seperti Malaysia, Indonesia dan Denmark.

Program sepetang bersama legenda sukan badminton itu juga turut menampilkan gelagat perlawanan pasangan suami isteri, Chong Wei dan Mew Choo yang mendapat perhatian penonton.

Beregu istimewa itu berdepan cabaran pasangan Taufik dan Lee Ying Ying pada perlawanan pertunjukkan terakhir.

Aksi lucu Taufik dan Chong yang saling mengacah ketika bermain dan mengusik pengadil perlawanan turut menggamatkan stadium dengan sorakan dan tepukan gemuruh penonton.