Guus Hiddink dijangka bakal dilantik sebagai Pengurus Chelsea menggantikan Jose Mourinho apabila bekas pengendali skuad kebangsaan Belanda itu dilihat berada di London hari ini.

Sumber memberitahu Hiddink, 69, berada di sebuah hotel dan sedang berbincang dengan pegawai The Blues.

Bagaimanapun belum ada sebarang pengumuman rasmi atau persetujuan dicapai.

Jika ia menjadi kenyataan Hiddink bakal mengulangi sejarah 2009 apabila dia dipilih menjadi pengurus sementara Chelsea. Di bawah Hiddink Chelsea memenangi Piala FA pada musim itu.

Hiddink memang bukan sembarangan orang. Dia memenangi enam kejuaraan liga di Belanda dan Piala Eropah selama dua kali mengendalikan kelab PSV Eindhoven.

Dia juga pernah membuktikan ketajaman sentuhannya sebagai pengurus dengan mengemudi skuad kebangsaan Korea Selatan, Australia dan Russia sebelum singgah sebentar di Stamford Bridge pada 2009.

Ketika itu Hiddink menggantikan tempat dikosongkan Luiz Felipe Scolari dan pada masa sama menjadi pengurus pasukan kebangsaan Russia.

Namun selepas itu bintang Hiddink agak malap kerana gagal membawa kesan diharapkan sebagai pengendali skuad kebangsaan Turki, Anzhi Makhachkala (kelab Russia) dan Belanda.

Dia meletakkan jawatan di Belanda pada Jun lalu selepas gagal membawa pasukan berkenaan layak ke Piala Eropah 2016 kerana berada di tempat keempat kumpulan di belakang Republik Czech, Iceland dan Turki.