Selepas Liverpool dan Chelsea, langkah pemecatan pengurus pasukan kini berlegar di kalangan pengurusan kelab Manchester United (MU) yang dikhabarkan bakal menyingkirkan Louis Van Gaal.
Tewas tiga kali berturut-turut, Van Gaal kini dikatakan akan menyusul nasib Brendan Rodgers (bekas pengurus Liverpool) dan Jose Mourinho (bekas pengurus Chelsea).
Jurulatih dari Belanda itu mengakui kedudukannya tergugat selepas MU tewas 1-2 kepada Norwich City, pada perlawanan ke-17 Liga Perdana English (EPL), malam tadi.
Kekalahan itu merupakan yang ketiga berturut-turut termasuk kegagalan MU ke peringkat kalah mati dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.
Pada aksi di Old Trafford malam tadi, gol daripada Cameron Jerome dan Alexander Tettey sekali gus meresahkan Van Gaal, malah turut melakar sejarah buruk buat The Red Devils.
Kali terakhir MU tewas kepada Norwich di Old trafford pada sekitar 80-an, dan kini memori pahit itu berulang di bawah kendalian Van Gaal.
Tekanan terhadap Van Gaal berhubung prestasi tidak menentu pemainnya semakin meningkat selepas bekas anak didiknya, Mourinho dipecat oleh Chelsea, Khamis lalu.
Sementara itu, muncul pula laporan yang menyebut beberapa nama yang dilihat berpotensi untuk menggantikan kerusi Van Gaal.
Selain Mourinho sendiri, penolong Van Gaal iaitu Ryan Giggs, Carlo Ancelotti dan Gary Neville yang baru dilantik sebagai ketua jurulatih Valencia antara calon yang disebut bakal menggantikan jurulatih 64 tahun itu.
Pep Guardiola yang mengumumkan untuk meninggalkan Bayern Munich turut dikaitkan dengan jawatan yang disandang Van Gaal ketika ini.
Bagaimanapun, Manchester City dilaporkan hampir mengesahkan bahawa pasukan itu akan menyunting Guardiola.
