Perseorangan wanita negara, Tee Jing Yi tidak menganggap pencapaian luar biasa yang diraih juara remaja dunia, Goh Jin Wei akan menggugat kedudukannya selaku pemain utama negara.

Sebaliknya, anak jati Pulau Pinang itu menegaskan pelbagai kejayaan yang diraih pemain cilik berusia 15 tahun itu merupakan satu perkembangan positif memandangkan negara kini kekurangan pemain perseorangan wanita yang mampu beraksi cemerlang di pentas antarabangsa.

"Saya rasa sangat gembira kerana beliau (Jin Wei) sudah meraih gelaran remaja dunia. Jadi saya harap, beliau boleh mengejar saya untuk bersama mengikuti kejohanan berprestij seperti Siri Super," kata Jing Yi.

Terdahulu, beliau menewaskan Jin Wei 21-14, 21-10 bagi meraih gelaran kali keempat pada Kejohanan Grand Prix (GP) Akhir Kebangsaan di Stadium Juara, Bukit Kiara, di Kuala Lumpur hari Ahad.

Mengulas mengenai kejayaaan hari ini, Jing Yi yang sudah meraih gelaran sama dari 2010-2012 mengakui persembahannya tidak seperti yang dipamerkan dalam kejohanan lain, namun mengganggap tuah lebih berpihak kepadanya berbanding Jin Wei.

Sementara itu, Jin Wei mengakui sedikit kecewa gagal merangkul gelaran sulung kebangsaan tetapi berpuas hati dengan persembahan keseluruhannya sepanjang musim ini.

"Walaupun tewas di final, saya gembira mencapai sasaran mara ke perlawanan akhir," kata pemain berasal dari Pulau Pinang itu.

Jin Wei berkata sasarannya kini adalah untuk berada dalam kelompok 15 pemain terbaik dunia dalam tempoh lima tahun dan mengakui perlu meningkatkan permainannya bagi bersaing di peringkat senior.

- Bernama