Platini pemain berjaya, pentadbir gagal
Michel Platini adalah tokoh yang dihormati sama ada sebagai pemain di tengah padang atau pegawai yang mengendalikan hal ehwal bola sepak - sehingga namanya dikaitkan dengan isu integriti baru-baru ini.
Selepas dihukum selama lapan tahun Planiti kini memperlihatkan kononnya dia adalah mangsa dendam Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).
Sebelum ini Platini menonjolkan dirinya sebagai tokoh yang benar-benar berjuang demi bola sepak dan berusaha menguasai tempat tertinggi Fifa semata-mata kerana kasihnya kepada sukan itu.
Imej itu dijana ketika pemimpin Fifa Sepp Blatter dilihat menjadikan bola sepak sebagai cara untuknya menonolkan diri sebagai seorang "presiden".
Namun nasib tidak menyebelahi Platini dan ironisnya ia berlaku kesan daripada tindakan Blatter.
Blatter, 79, dilaporkan memberi kelulusan bayaran bernilai £1.35 juta (RM8.6 juta) dari kocek Fifa untuk diberikan kepada Platini pada 2011 sebagai menghargai "khidmat nasihat" yang tidak lagi dilakukan sembilan tahun sebelum itu.
Cara Platini menafikan tuduhan itu juga tidak banyak menolong.
Pada satu ketika Platini, 60, berpendapat tidak ada salahnya menerima wang daripada Blatter sejurus sebelum dia bersetuju tidak mencabar tokoh dari Switzerland berkenaan untuk jawatan Presiden Fifa.
Pemain tengah kreatif
Lama sebelum Platini dihukum Fifa, namanya memang mengharum di seluruh dunia.
Dia adalah pemain muda Perancis yang membuktikan kemampuannya merancang gerakan menyerang ke kawasan lawan dari tengah padang.
Platini turut bertanggungjawab menjadikan Perancis sebagai kuasa besar dunia dalam bola sepak.
Kelibatnya masih diingat sebagai pemain midfield yang kreatif pada temasya Piala Dunia 1982.
Reaksi Persekutuan Bola Sepak Eropah (Uefa) pula dilihat begitu berpihak dengan kenyataan menyokong Platini secara terbuka.
"Uefa amat kecewa dengan keputusan (penggantungan) berkenaan walaupun ia tertakluk kepada proses rayuan. Sekali lagi Uefa menyokong hak Platini menggunakan proses perundangan bagi membersihkan namanya," kata kenyataan dikeluarkan semalam.
Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF) juga tidak kurang tegasnya.
Presiden FFF, Noel le Graet berkata hukuman yang ditimpakan terhadap Platini amat menyedihkannya.
"Tapi ia tidak mengejutkan saya kerana suruhanjata etika Fifa menganggap Platini bersalah lebih awal (walaupun sebelum rayuan dibuat)," katanya.
Pada masa sama tindak tanduk Platini juga kini mula dipertikaikan lebih jauh, termasuk sokongan diberikan kepada Qatar untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022 serta ketaatan diberi kepada Blatter selama beberapa dekad.
Platini hanya bersuara selepas dia menyatakan cita-citanya mengepalai Fifa.
Menurut Blatter, bayaran dibuat untuk Platini sepatutnya tidak terdedah sehingga pihak berkuasa - yang menyiasat tuduhan rasuah terhadapnya - menemui akaun bank di Switzerland.
Tahun depan dia mungkin menyaksikan Piala Eropah sebagai tokoh yang tidak lagi punya apa-apa kuasa dalam bola sepak. Ingatan orang ramai terhadapnya sebagai pemain juga mungkin pudar perlahan-lahan sebelum diabaikan sama sekali.

