Felicia ada bakat luar biasa
Selain periang dan ramah, dia aktif dan senang dibimbing.
Faktor itu membolehkan Felicia Mikat lebih mudah dibentuk menjadi atlet di bawah asuhan Bryan Bonnie.
Menurut guru pendidikan khas di Sekolah Menengah Kebangsaan Badin itu, dia mula mengesan bakat besar pada Felicia ketika remaja terbabit berada di tingkatan satu.
Menurut Bryan, minat mendalam dan kerajinan Felicia dalam sukan membuahkan hasil dalam tempoh yang agak singkat.
"Tetapi untuk pencapaian lebih tinggi, Felicia perlu berusaha lebih gigih di masa depan.
"Kita juga tidak boleh beri tekanan kepadanya kerana usianya masih muda.
"Biar dia menjadi lebih matang dulu. Kemudian dia sendiri akan berusaha untuk meraih kejayaan lebih besar," kata Bryan kepada Malaysiakini .
Felicia menjadi sebutan ramai apabila muncul sebagai juara larian pecut di kejohanan Sukan Para Asean yang diadakan di Singapura antara 3 hingga 9 Disember lalu.
Felicia yang menyertai pertandingan itu bagi kategori masalah penglihatan muncul pemenang pingat emas bagi acara 100 meter, 200 meter dan 400 meter.
Mudah ikut arahan
Mengulas pencapaian awal anak didiknya itu, Bryan berkata Felicia menunjukkan bakat luar biasa ketika kejohanan olahraga di peringkat sekolah.
"Di SMK Badin kita ada 34 pelajar pendidikan khas dan Felicia adalah pelajar paling aktif dalam sukan olahraga.
"Malah, dia mampu mencabar keupayaan pelajar normal pada kejohanan olahraga peringkat sekolah. Bermula dari situ, kami gilap bakatnya melalui acara pecut dan lompat jauh," katanya.
Menceritakan pengalaman membimbing atlet itu, Bryan berkata, Felicia seorang yang berdisiplin dan mudah mengikut arahan yang diberikan.
"Dia seorang yang bersemangat dan mudah untuk saya bimbing. Dia akan ikut arahan dan tidak akan terlepas latihan kecuali kesihatan terganggu," katanya.
Sebelum mencipta nama di temasya Sukan Para Asean Singapura 2015, baru-baru ini, Bryan berkata, Felicia telah banyak terdedah dengan kejohanan di pelbagai peringkat sama di dalam negara.
"Beberapa kali dia akan mewakili Sabah di kejohanan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM), Sukan Malaysia (Sukma) serta kejohanan lain.
"Daripada prestasi semasa, dia terpilih untuk wakil negara ke Sukan Para Asean," katanya.
Bagaimanapun, Bryan berkata, sebagai jurulatih dia tidak meletakkan harapan tinggi dengan menyasarkan kejayaan besar terhadap anak didiknya.
"Melalui pemerhatian saya sebelum ini, saingan di peringkat Asean sangat sengit terutamanya peserta dari Thailand. Jadi saya tidak sasarkan Felicia dia akan raih pingat emas.
"Tetapi Felicia lakukan kejutan, dengan kejayaan tiga emas yang dibawa pulang itu adalah pencapaian luar jangkaan," katanya.
Wawancara 1: Felicia 'si anak bukit' hampir lupakan olahraga

