EPL: Leicester tewas, Arsenal tak ambil peluang
Kekalahan Leicester City kepada Liverpool malam tadi gagal diambil kesempatan oleh Arsenal untuk merebut tangga teratas Liga Perdana english (EPL), pada perlawanan ke-18.
Arsenal tersungkur di gelanggang Southampton dengan jaringan besar 0-4 sekali gus mengekalkan kedudukan seperti minggu lalu.
Terdahulu, Leicester ditewaskan anak buah Jurgen Klopp dengan keputusan tipis 1-0 di Anfield sekali gus memberi laluan kepada Arsenal untuk memintas kedudukan mereka.
Dengan perbezaan dua mata di belakang Leicester, Arsenal dilihat dapat mendominasi kedudukan minggu ini sekiranya meraih kemenangan.
Pengurus skuad The Gunners, Arsene Wenger mengakui kecewa dengan persembahan anak buahnya walaupun menguasai permainan.
"Kami kehilangan banyak peluang dan Southampton terbukti lebih tajam daripada kami.
"Ini keputusan mengecewakan, namun saya perlu katakan Southampton telah menampilkan persembahan yang lebih bagus," katanya seperti dilaporkan BBC Sport.
Sementara itu, Leicester yang baru mengalami kekalahan kedua sepanjang musim ini kurang bernasib baik untuk mengukuhkan kedudukan mereka.
Pengurusnya, Claudio Ranieri menyifatkan skuad The Kop layak menang pada perlawanan itu.
"Kami bermula dengan kurang baik. Sebaliknya Liverpool terus menyerang sejak awal perlawanan. Atas sebab itu mereka layak menang.
"Kami cuba melakukan yang terbaik, tapi pada separuh masa pertama kami teragak-agak ketika memperagakan gaya permainan kami," katanya.
Selain itu, perlawanan pada Boxing Day iaitu sehari selepas sambutan Krismas juga menyaksikan Manchester United tewas 0-2 kepada Stoke city.
Keadaan itu sekali gus memberi tekanan kepada Pengurus The Red Devils, Louis Van Gaal yang kini digosip dengan risiko pemecatannya.
Keputusan penuh EPL minggu perlawanan ke-18
Stoke City 2 - 0 Manchester United
AFC Bournemouth 0 - 0 Crystal Palace
Aston Villa 1 - 1 West Ham United
Chelsea 2 - 2 Watford
Liverpool 1 - 0 Leicester City
Manchester City 4 - 1 Sunderland
Swansea City 1 - 0 West Bromwich Albion
Tottenham Hotspur 3 - 0 Norwich City
Newcastle United 0 - 1 Everton
Southampton 4 - 0 Arsenal

