Biar pun meraih kemenangan, Pengurus Liverpool Jurgen Klopp memilih untuk berduka atas nasib yang menimpa anak buahnya.

Di sebalik kemenangan tipil 1 - 0 ke atas Stoke City dalam saingan separuh akhir pertama Piala Capital One di Stadium Britannia awal pagi tadi, Klopp mengaku kecewa.

Puncanya, beberapa pemain The Kop diselubungi kecederaan pada aksi tersebut.

Kelibat Philippe Coutinho ( gambar ), Dejan Lovren dan Kolo Toure belum diketahui sama ada dapat beraksi atau tidak pada perlawanan Liverpool selepas ini.

Coutinho dan Lovren terpaksa dibawa keluar pada separuh masa pertama selepas mengalami kecederaan paha, manakala Toure dikeluarkan ketika mereka sudah kehabisan kuota pemain gantian di saat akhir perlawanan.

"Saya sangat kecewa. Masalahnya pemain kami mengalami terlalu banyak kecederaan. Ketika ada pemain yang pulih, ada pula yang mula cedera. Keadaan ini perlu diselesaikan," katanya.

Sebelum ini, beberapa pemain harapan Klopp sedang berehat susulan kecederaan. Antaranya Martin Skrtel, Joe Gomez, Jon Flanagan, Daniel Sturridge, Danny Ings dan Divock Origi.

Tambah Klopp, nasib malang tersebut menimpa pasukannya ketika mereka terpaksa bergelut dengan jadual perlawanan yang padat.

"Kami tidak mempunyai masa rehat atau tempoh pemulihan," kata jurulatih dari Jerman itu.

Sekiranya Toure dan Lovren ditakdirkan terpaksa berehat panjang, Klopp dilihat hanya mempunyai Mamadou Sakho sebagai satu-satunya pemain pertahanan tengah.

Jika tidak, mereka terpaksa menggunakan khidmat Emre Can yang boleh beraksi di posisi tersebut seperti yang dipraktikkan bekas pengurus The Kop , Brendan Rodgers.