Felda United janji aksi terbaik di Bangladesh
Pasukan Felda United menjanjikan aksi terbaik di kejohanan Piala Emas Bangabandhu di Bangladesh minggu ini, bagi menyuntik keyakinan awal menghadapi Liga Malaysia (Liga-M) musim 2016.
Ketua pasukan Mohd Shukor Adan berkata keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memilih Felda United mewakili negara ke kejohanan dari 8 hingga 20 Jan itu, merupakan satu penghormatan, namun skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim tidak meletakkan sebarang sasaran
"Piala Bangabandhu merupakan persiapan pramusim Felda...sebab itu kita tidak sasar apa-apa. Cuma jurulatih mahu kami memberikan persembahan yang baik demi menjaga nama Malaysia di peringkat antarabangsa.
"Saya harap rakan sepasukan dapat beraksi dengan cemerlang. Kita mungkin tidak boleh buat seperti Harimau Muda tahun lepas sebab persediaan mereka cukup lama berbanding Felda yang hanya mempunyai 10 hari membuat persiapan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani kontrak skuad Felda United yang dikenali sebagai 'The Fighters' di Dewan Perdana Felda di Kuala Lumpur hari ini.
The Fighters diundi dalam Kumpulan A bersama Sri Lanka, Bangladesh dan Nepal manakala Bahrain, Maldives, Kemboja dan pasukan Olimpik Bangladesh dalam Kumpulan B.
Felda United akan menentang Nepal pada perlawanan pertama di Stadium Shams-Ul-Huda, Jessore pada 9 Jan, sebelum berdepan Bangladesh (12 Januari) dan Sri Lanka (14 Januari).
Untuk rekod, skuad Harimau Muda muncul juara kejohanan itu tahun lepas selepas menewaskan Bangladesh 3-2 pada aksi final di Stadium Nasional Bangabandhu, Bangladesh.
Kemenangan itu adalah yang kedua diraih Malaysia selepas muncul juara edisi pertama pada 1996 menerusi kemenangan 2-1 ke atas kelab dari Indonesia, PSM Makassar.
Tahun mencabar
Sementara itu, ketika ditanya mengenai sasaran pengurusan Felda United untuk mencapai sekurang-kurangnya satu piala dalam Liga-M, Mohd Shukor berkata ia merupakan tanggungjawab yang berat untuk beliau dan rakan sepasukan.
"Tahun ini agak mencabar sebab banyak pasukan berlumba-lumba memperkuatkan pasukan masing-masing dengan mengambil pemain import dan juga pemain tempatan. Bagi Felda sendiri, saya yakin kita mampu menjadi pesaing dalam persaingan liga musim ini," katanya.
Bagi Liga-M 2016, The Fighters mengekalkan dua tonggak import, Thiago Augusto Fernandes selaku penyerang dan pemain tengah Zah Rahan Krangar.
Pasukan bertaraf kelab itu mengikat kontrak setahun dengan dua lagi pemain import, Lutfulla Turaev dari Uzbekistan dan Gilbert Carlos Marangino Filho dari Brazil, bagi menggantikan Ndumba Mekeche dan Bojan Milankovic yang digugurkan.
"Dengan adanya Thiago, saya harap beliau dapat mengekalkan sentuhan seperti musim lepas dan membantu Felda mencapai Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang ditetapkan pengurusan untuk sekurang-kurangnya meraih satu piala musim ini," katanya.
Naib juara Piala FA 2014 itu, mengejutkan Johor Darul Ta'zim di suku akhir Piala Malaysia 2015, namun gagal ke final selepas tumpas kepada Kedah di separuh akhir.
- Bernama

