Tiada Langkawi dalam LTDL kerana bajet dipotong
Bukan tidak mahu, tetapi tidak berkemampuan untuk penganjur Le Tour De Langkawi (LTDL) 2016 membawa siri jelajah berbasikal itu ke lokasi utamanya, Pulau Langkawi.
Ketua Pegawai Eksekutif LTDL 2016, Emir Abdul Jalal berkata, peruntukkan kecil untuk acara itu pada tahun ini menyebabkan pihaknya terpaksa memilih lokasi lain bagi menjimatkan kos.
Menurut beliau, dana yang disuntik oleh kerajaan pada kali ini hanya berjumlah RM11 juta, manakala pihaknya perlu mencari kos selebihnya.
"Daripada jumlah itu, kita terpaksa menambah RM4 juta lagi untuk menampung keseluruhan kos.
Beliau memberi contoh penganjuran pada tahun 2014 yang penganjur mendapat dana RM16 juta di samping yang dicari sendiri sebanyak RM3 juta.
Terdahulu, Pulau Langkawi dan Genting Highlands tersingkir daripada senarai destinasi LTDL ke-21 atas faktor masalah masa dan kos yang tinggi.
Walaupun media mengkritik penganjuran kali ini susulan tidak melibatkan destinasi pulau pelancongan itu, Emir berkata, banyak pihak tidak memahami situasi yang dihadapi mereka.
"Untuk membawa LTDL ke Pulau Langkawi kita terpaksa membawa masuk segala aspek logistik, ini akan menelan belanja kira-kira RM1.2 juta.
"Ia satu beban besar berbanding kemampuan yang kita ada. Untuk mencari penaja, kita sudah bekerja keras bagi menjamin dana tambahan mencukupi," jelasnya.
Isu keselamatan di Genting
Sementara itu, mengulas mengenai acara lumba basikal berprestij yang turut tidak melibatkan Genting Highlands kali ini, beliau berkata, pihaknya berdepan dengan risiko keselamatan peserta.
"Bukan kita tidak mahu masuk Genting Highland, tetapi keadaan tidak mengizinkan.
"Laluan di sana banyak terlibat dengan penyelenggaraan dan baik pulih. Kami terpaksa akur dengan situasi itu," kata pengarah urusan Cislista Sports Sdn Bhd itu.
Selain dua lokasi itu, edisi kali ini juga tidak melibatkan laluan negeri Terengganu dan Kelantan.
Edisi kali ini menyaksikan perlumbaan peringkat pertama bermula di Kangar ke Baling melibatkan 165.5 km diikuti Sungai Petani-George Town (159.8km), Kulim-Kuala Kangsar (107.0km), Ipoh-Cameron Highlands (129.5km), Tapah-Kuala Lumpur (149.9km), Putrajaya-Rembau (147.6km), Seremban-Parit Sulong (203.2km) dan peringkat terakhir dari Batu Pahat-Melaka (119.9km).
Tambah Emir, pihaknya bagaimanapun akan membuat banyak promosi istimewa untuk Pulau Langkawi yang dilihat sangat penting sebagai imej setiap penganjuran LTDL.

