Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berharap lebih banyak syarikat swasta sudi memberi tajaan kepada pembangunan sukan tempatan.

Melihat kepada kesungguhan Ketua Pegawai Eksekutif Vida Beauty Sdn Bhd Datuk Seri Hasmiza Othman atau Datuk Vida menaja pasukan The Red Warriors, Khairy berkata, ia merupakan satu perkembangan positif kerana ada pihak sudi menaja pasukan bola sepak tempatan.

"Ini perkembangan positif dan harap lebih banyak syarikat akan kejar dan beri penajaan - bukan hanya bola sepak tapi sukan-sukan yang lain yang memerlukan.

"Dan saya juga kagum dengan tindakan yang dibuat oleh Sultan Johor terhadap pasukan bola sepak JDT.

"Macam Dr Vida ini, tindakan (beliau) berani yang saya anggap positif untuk sukan. Saya ucap terima kasih sebab percaya pada sukan tempatan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mesyuarat exco Pemuda Umno di Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini, Datuk Vida mengemukakan syarat penajaan kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).

Pengasas produk Qu Puteh itu, secara asasnya bersetuju dengan dana RM8 juta semusim seperti diuar-uarkan sebelum ini.

Langkah TMJ bagus

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pengambilalihan pasukan JDT oleh Tengku Mahkota Johor Tengku Ismail Ibrahim, ahli parlimen Rembau itu berkata ia satu tindakan yang bagus.

Katanya, tindakan yang dibuat Ismail ( gambar ) atau dikenali sebagai TMJ itu bersesuaian dengan format bola sepak terkini.

"Itu pendekatan yang sesuai dengan format bola yang moden. Di Eropah, semua kelab bola bukan dimiliki oleh negeri.

"Saya lihat tindakan TMJ memang tepat dengan tuntutan bola yang moden," ujarnya.