Majlis Sukan Negara (MSN) berharap FAM dapat merealisasikan pembentukan skuad Projek 2017 menjelang fasa kedua program Kita Juara, September ini.

Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata sehingga tempoh itu, jurulatih skuad berkenaan Frank Bernhardt mempunyai ruang mengenal pasti pemain berusia 19 hingga 21 tahun yang bermain untuk pasukan negeri atau kelab dalam saingan Liga Malaysia serta Sukan Malaysia (Sukma).

"MSN ada cadangkan kepada FAM dan pada dasarnya telah bersetuju membolehkan pasukan diwujudkan oleh Bernhardt menjelang fasa kedua dan ketiga program Kita Juara adalah pasukan yang dapat bermain bersama dan menyertai pertandingan bersama atas nama negara.

"Kita berharap pasukan ini sudahpun dimuktamadkan oleh Bernhardt yang akan memanggil pemain terbabit untuk membuat pemilihan daripada sekarang sehinggalah pada September atau Oktober nanti," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Sukan SEA 2017 di Wisma OCM di Kuala Lumpur semalam.

Dalam pada itu, Ahmad Shapawi berkata pihaknya terpaksa akur dengan keadaan semasa dan melihat kepada keperluan Bernhardt sendiri dalam mempersiapkan skuad bola sepak bagi menghadapi Sukan SEA 2017, walaupun pada awalnya mencadangkan agar sebuah pasukan sepenuh masa dibentuk.

"Sejarah kita pada 2009 dan 2011, kita dapat pingat emas berdasarkan pasukan yang bermain dalam satu pasukan. Itu yang kita gunakan sebagai asas.

"Bagaimanapun, Bernhardt telah buat keputusan tersebut dan bermakna ini bukan keputusan yang kita harapkan namun berdasarkan keadaan semasa, pertandingan dan pengujian Bernhardt, kita kena akur," katanya.

Bernhardt, jurulatih dari Jerman itu melaporkan diri pada 1 Januari dan telah memanggil 39 pemain skuad Harimau Muda B dan C, iaitu pemain di bawah usia 20 tahun.

Dari 39, hanya 30 pemain melaporkan diri ekoran komitmen dengan persediaan menghadapi Liga Malaysia bersama pasukan negeri dan kelab.

Susulan itu, Bernhardt sekali lagi memanggil 20 pemain dari negeri dan kelab yang berusia bawah 22 tahun untuk diuji bagi membentuk sebuah pasukan menghadapi Sukan SEA 2017.

- Bernama