Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
TRW ikat penyerang berbisa dari Mali
Diterbitkan:  Jan 13, 2016 6:37 PM
Dikemaskini: 10:39 AM

Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) akan mengikat kontrak dengan penyerang import dari Mali, Dramane Traore, untuk memperkuatkan jentera serangan skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (TRW).

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, Kafa dengan persetujuan ketua jurulatih kelantan, K Devan, mengesahkan tawaran untuk mengikat penjaring terbanyak Liga Super 2015 itu.

Traore merupakan jentera serangan terpenting PDRM sepanjang musim lalu.

"Bagaimanapun, tawaran ini tertakluk kepada keputusan ujian kesihatan dan kecergasan yang ketat minggu ini.

"Traore kini dalam perjalanan ke Kota Bharu tetapi sudah pun bersetuju dengan semua terma yang saya rundingkan," katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Terdahulu, Kafa menerima suntikan dana daripada penaja baru musim ini iaitu Vida Beauty Sdn Bhd dengan nilai RM16 juta bagi tempoh dua tahun.

Sementara itu keputusan mengikat Traore itu, kata Annuar, diambil selepas beliau melihat sendiri kehangatan sambutan di kalangan penyokong.

Katanya, dua lagi pemain import untuk TRW akan diputuskan minggu depan.

"Tertakluk kepada penilaian jurulatih (pemain itu) termasuk Teerasil Dangda dari Thailand. Saya telah hubungi ejen pemain dan kelabnya Muangthong United FC," katanya.

Annuar menjelaskan Dangda masih mempunyai kontrak setahun dengan kelabnya.

Sebelum ini, Devan dilaporkan telah menguji 10 orang pemain import untuk memperkuatkan jentera serangan, tengah dan pertahanan pasukannya.

Namun, semua pemain yang diuji itu dihantar pulang ke negara masing-masing selepas gagal memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Lihat Komen
ADS