Kim Swee pilihan tepat kalau...
Tindakan FAM memilik Datuk Ong Kim Swee dianggap sangat tepat walaupun ia mungkin gagal memenuhi harapan peminat bola sepak Malaysia.
Menurut Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Hairuddin Omar, jika kemampuan Kim Swee diukur dengan jurulatih tempatan lain, anak kelahiran Melaka itu memang layak.
"Pemilihan ini pada saya tepat jika ukurannya adalah untuk jurulatih tempatan.
"Ia berdasarkan rekod dan prestasi pasukan yang dikendalikan beliau sebelum ini, termasuk ketika menjadi jurulatih sementara pasukan negara," katanya kepada Malaysiakini .
Semalam, Kim Swee dipilih sebulat suara sebagai ketua jurulatih kebangsaan oleh panel pemilihan dilantik FAM, sekali gus mengetepikan pesaing terdekat iaitu Bojan Hodak dari Crotia (
gambar
) dan Robert Alberts dari Belanda.
Keputusan memihak kepada Kim Swee itu dilihat mengejutkan kerana sesetengah pemerhati menjangkakan FAM akan memilih jurulatih warga asing untuk membimbing pasukan kebangsaan.
Menurut Hairuddin, peminat mengharapkan landskap bola sepak negara mengalami perubahan selepas persembahan Harimau Malaya dilihat tidak banyak berubah walaupun jurulatih bertukar.
"Pada saya penyokong mahu melihat sentuhan daripada jurulatih berprofil tinggi dari luar negara untuk mengubah prestasi skuad utama.
"Kita menjangkakan dan berharap keadaan itu berlaku, tetapi ternyata tidak. Mungkin FAM ada alasan tersendiri," katanya.
Mengulas mengenai kemampuan Kim Swee, Hairuddin yang dikenali sebagai Hai-O berkata, sebagai jurulatih berpengalaman beliau pasti mempunyai pelan tersendiri untuk mengubah wajah sukan nombor satu itu.
"Saya melihat beliau masih memerlukan pemain senior dalam skuad kebangsaan dan dengan pengalaman mengendalikan pasukan bawah 23 sebelum ini boleh diadaptasi.
"Ini bermakna, wujud kombinasi antara pemain senior dan pemain muda dalam pasukan negara.
"Kita tetap perlukan pemain utama seperti Amri Yahyah, Syafiq Rahim dan Safee Sali dilihat masih relevan," jelasnya yang juga bekas penyerang kebangsaan.

