Raja pecut dunia, Usain Bolt mengakui kecewa dengan gaya kejurulatihan Pengurus Manchester United, Louis Van Gaal sekali gus menangguhkan hasrat menyertai kelab itu.

Sebagai salah seorang peminat tegar MU, Bolt menyifatkan minatnya kepada The Red Devils kian pudar selepas kelab itu diletak di bawah kendalian Van Gaal.

Atlet berusia 29 tahun itu berkata, dia memilih untuk tidak menyertai latihan percubaan bersama MU walaupun itulah yang diidamkannya sebelum ini.

Menurut pelari dari Jamaica itu, permainan MU dan Wayne Rooney kini semakin membosankan.

"Melihat gaya Van Gaal, saya tidak fikir saya mahu dilatih beliau. Lebih baik saya tangguhkan keinginan tersebut sehingga MU dibimbing jurulatih baru," kata pemegang pingat emas Olimpik itu seperti dilaporka ESPN FC.

Bolt sebelum dilaporkan mahu menjadi salah seorang pemain di Old Trafford dan kelebihan berlari dengan pantas menjadi taruhannya.

Hasrat itu dinyatakan ketika kelab gergasi England itu dipimpin Alex Ferguson sebagai pengurus.

Sementara itu, selain Bolt, bekas pemain MU, Paul Scholes juga antara individu yang menganggap Van Gaal gagal sebelum ini.

"Tiada senyuman, tiada hiburan. Van Gaal tidak nampak ghairah di bangku simpanan," kata Scholes.