Adidas hantar sarung tangan Cech ke Chelsea
Selepas mengharungi 22 minggu sebagai penjaga gol utama Arsenal, siapa sangka syarikat pengeluar pakaian sukan terkenal, Adidas, mengejutkan bekas kelab lama Petr Cech, Chelsea.
Puncanya, Adidas menghantar sarung tangan untuk Cech ke kompleks latihan Chelsea di Surrey, London.
Akhbar The Mirror melaporkan, sarung tangan itu sepatutnya dipakai Cech tersebut untuk mengadapi perlawanan EPL antara Arsenal dengan Chelsea.
Menurut sumber, Adidas mungkin menganggap Cech masih bermain untuk Chelsea.
"Sangat pelik bagaimana mereka boleh terlupa Cech sudah bermain di kelab lain," kata sumber tersebut seperti dilaporkan The Mirror , hari ini.
Cech menjadi penjaga gol Chelsea selama 11 musim sebelum kedudukannya digugat atlet muda dari Belgium, Thibaut Courtois musim lalu.
Ekoran itu, pemain antarabangsa Republik Czech itu membuat keputusan berpindah ke Emirates.
Sepanjang berkhidmat untuk Chelsea, beliau membantu kelab itu merebut empat kejuaraan EPL dan satu gelaran Liga Juara-juara.
Pemain berusia 33 tahun itu juga mencatatkan 493 penampilan bersama The Blues dengan 228 daripadanya berlangsung tanpa sebarang gol bolos.
Sementara itu di Arsenal, Cech sudah tampil dalam 29 perlawanan dengan rekod 14 perlawanan tanpa bolos.
Cech kini dijangka dapat menyamai rekod pemain dari perancis, Eric Cantona yang berjaya meraih kejuaraan EPL bersama dua kelab berbeza iaitu Leeds United dan Manchester United.
Aksi ke-23 EPL minggu ini akan menyaksikan Chelsea melayan aksi ranggi buah Arsene Wenger di Stadium Emirates pada awal pagi Isnin.

