Digantung tugas namun tetap menerima gaji - itu 'tuah' dialami bekas Presiden Fifa, Sepp Blatter, ketika ini.

Terpalit dengan skandal rasuah berhubung pembayaran secara rahsia untuk Michel Platini antara 1998 hingga 2002, Blatter dilarang untuk menyertai sebarang aktiviti berkaitan bola sepak secara menyeluruh.

Jawatankuasa Etika Fifa mengenakan hukuman gantung itu terhadap Blatter, 79, dan Platini, 60.

Namun ketika Blatter digantung selama lapan tahun, tokoh dari Switzerland itu terus mendapat gaji sebagai Presiden Fifa dan keadaan itu berterusan sehingga presiden baru dilantik dalam kongres luar biasa pada 26 Februari ini.

Bercakap kepada Reuters , Andreas Bantel berkata, sehingga pemimpin baru dilantik bulan depan Blatter tetap dianggap Presiden Fifa.

Justeru kata jurucakap Jawatankuasa Audit dan Aduan Fifa berkenaan, mengikut kontrak Blatter berhak diberikan gaji seperti biasa.

Sporting Intelligence melaporkan, Blatter menerima habuan kira-kira AS$6 juta (RM25.6 juta) setahun. Dalam keadaan itu dia menerima sehingga AS$1.7 juta (RM7.24 juta) sejak digantung pada 8 Oktober lalu.

Menjelang penghujung jangka masa 18 tahun menjadi Presiden Fifa bulan depan, gajinya boleh mencecah AS$2.3 juta (RM9.79 juta).

Tanpa disedari banyak pihak, tindakan Fifa melantik pemangku presiden (kini disandang Issa Hayatou) juga menjadikan bandan induk bola sepak berkenaan kini menanggung dua gaji bagi satu tugas yang sama.

Namun bayaran elaun lain untuk Blatter ditamatkan sejak dia tidak lagi menjalankan tugas sebagai presiden.

Kata Bantel, keputusan menamatkan bayaran elaun kepada Blatter dibuat pada mesyuarat terbaru.

"Tugas menyelia Fifa disebut secara khusus dalam perjanjian dan ia layak mendapat elaun.

"Disebabkan Blatter dilarang melaksanakan tugas seliaan, bayaran itu dihentikan," katanya.