Tuah tangan Mignolet
Ketangkasan Simon Mignolet menepis dua sepakan penalti membawa Liverpool ke saingan akhir Piala Capitol One pada aksi separuh akhir kedua bertemu Stoke City, awal pagi tadi.
Berbekalkan kemenangan 1 - 0 pada separuh akhir pertama lalu, skuad bimbingan Jurgen Klopp tewas pula 0 - 1 di Anfield menjadikan agregat terikat 1 - 1.
Selepas masa tambahan berakhir kedudukan masih terikat seri memaksa pemenang perlawanan itu ditentukan melalui sepakan penalti.
Lalu, Mignolet muncul wira selepas berjaya menepis sepakan penalti Peter Crouch dan Marc Muniesa sekali gus melangkah ke peringkat akhir.
Bagaimanapun, Liverpool tidak pula melakar sepakan yang bersih kerana satu daripadanya - tendangan Emre Can - terkena tiang dan gagal memasuki gawang.
Keadaan itu menjadikan jaringan 6 - 5.
Mengulas kemenangan itu, Mignolet berkata Liverpool sememangnya layak ke pentas akhir.
"Kami adalah pasukan yang mampu bermain lebih baik daripada dua perlawanan separuh akhir," katanya seperti dilaporkan BBC Sport .
Sepanjang musim ini, penjaga gol kelahiran Belgium itu dihujani kritikan susulan prestasi tidak konsisten.
Antaranya dia melakukan kesilapan besar ketika Liverpool terpaksa menerima keputusan seri 2 - 2 walaupun sudah mendahului West Bromwich Albion 13 Disember lalu.
Namun, Mignolet terus diberi kepercayaan oleh barisan kejurulatihan kelabnya dan kemenangan Liverpool ini membuktikan kebolehan penjaga gol itu.
Pada perlawanan akhir nanti, Liverpool akan berdepan sama ada Manchester City atau Everton yang akan bertarung awal pagi esok.
Pusingan pertama lalu Everton memiliki kelebihan dengan mendahului City 2 - 1.
Piala Capital One atau dikenali juga sebagai Piala Liga adalah salah satu kejohanan dalam liga bola sepak England, membabitkan 92 pasukan termasuk dari Wales.
Dua puluh daripadanya adalah kelab yang bersaing dalam EPL.
Walaupun Piala Capital One satu daripada tiga trofi utama tempatan untuk diraih, ia dilihat bukan keutamaan kebanyakan kelab besar berbanding Liga EPL, Liga Juara-juara dan Piala FA.
Sejak diperkenalkan pada 1960, Liverpool muncul sebagai kelab paling mendominasi gelaran itu dengan lapan kejuaraan setakat ini.

