Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Khoo Kay Kim: Tajaan syarikat kosmetik tak janjikan hasil
Diterbitkan:  Jan 28, 2016 3:54 PM
Dikemaskini: 8:04 AM

Kegilaan syarikat kosmetik berlumba-lumba menaja pasukan bola sepak belum tentu menjanjikan manfaat kepada pasukan tersebut, kata Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim.

Pengkritik sukan itu berkata keadaan itu berlaku sekiranya pengurusan pasukan yang ditaja diberi tekanan untuk mempamerkan aksi cemerlang sepanjang musim.

Katanya, penajaan daripada syarikat kosmetik dan kecantikan, antaranya bertujuan untuk memperluaskan jaringan perniagaan sesebuah syarikat kosmetik berkenaan.

"Pada zaman dahulu, persekitaran bola sepak negara sangat berbeza memandangkan pemain berusaha menggunakan duit sendiri untuk membantu pasukan tanpa mengharapkan penajaan.

"Sayangnya, perkara itu tidak wujud lagi pada masa kini, dan penajaan jutaan ringgit menjadi tumpuan utama pasukan untuk meraih kejayaan," katanya seperti dilaporkan Bernama .

Terdahulu, pasukan Kelantan antara pencetus fenomena tersebut selepas mendapat tajaan berjumlah RM16 juta daripada Vida Beauty Sdn Bhd.

Susulan itu, D'Herbs Holdings (M) Sdn Bhd juga berminat untuk menaja sama ada pasukan Pahang, Terengganu atau Kedah selepas rundingan dengan juara Piala Malaysia 2015, Selangor gagal mencapai kata sepakat.

Syarikat Nouvelle Visages yang menyatakan minat menaja salah satu daripada tiga pasukan bola sepak tempatan namun nama pasukan tidak didedahkan.

Sementara syarikat Megah Perawan Sdn Bhd dilapor membuat pusingan U selepas dilaporkan berhasrat untuk menaja pasukan Liga Perdana PKNS FC.

Campur tangan jejas rancangan?

Sementara itu, bekas pemain kebangsaan era 90-an, Mohd Nidzam Jamil menyokong usaha syarikat kosmetik menyuntik dana kepada pasukan pilihan mereka kerana sedikit sebanyak dapat mengatasi masalah kewangan pasukan dalam Liga-M.

Mohd Nidzam yang juga jurulatih kelab Liga FAM AirAsia FC bagaimanapun melahirkan kebimbangan sekiranya wujud campur tangan dalam urusan pentadbiran oleh pihak penaja sehingga menjejaskan perancangan terdahulu pasukan berkenaan yang sudah dirangka lebih awal.

"Bagi saya, penajaan daripada syarikat kosmetik ini bagus cuma apa yang saya risaukan adalah mereka bakal mencampuri pengurusan sesebuah pasukan yang akhirnya akan membawa kepada konflik kepentingan pasukan itu sendiri," beliau dipetik sebagai berkata.

Selain itu menurut beliau, penaja akan mewujudkan tekanan terhadap pasukan bola sepak untuk mencapai kejayaan kerana mereka mahukan pulangan hasil pelaburan besar.

"Bola sepak ini adalah sukan yang sangat mendesak, dan desakan daripada penaja untuk sesuatu pasukan raih kejayaan (setiap musim) adalah perkara biasa. Tanpa desakan sekali pun, pengurusan sesebuah pasukan sudah semestinya menginginkan kejayaan.

"Namun mereka (penaja) harus ingat kemampuan pemain sesebuah pasukan untuk melakar kejayaan dalam tempoh singkat bukannya satu perkara mudah kerana ia memerlukan perancangan teliti," katanya.

Tegasnya, pemain juga harus tahu bagaimanapun untuk mengawal tekanan serta kehendak pengurusan dan penyokong mereka sendiri.

Sementara itu, penajaan dilihat aspek penting memandangkan kos pengurusan untuk pasukan Liga-M menelan belanja antara RM8 hingga RM18 juta bergantung sama ada pasukan itu bersaing dalam Liga Super atau Liga Perdana.

Jumlah berkenaan dijangka meningkat tahun ini susulan penswastaan Liga-M dan dikendalikan oleh Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP).

FMLLP pula dijangka hanya memberikan geran antara RM500,000 sehingga RM1 juta kepada setiap pasukan Liga Perdana dan Liga Super, dan jumlah ini tidak mampu menampung keperluan kewangan pasukan terlibat hingga menyebabkan mereka kini perlu mencari penaja pasukan masing-masing untuk bertanding dalam Liga-M.

FMLLP merupakan sebuah badan khas yang menguruskan perjalanan Liga-M bermula musim ini susulan kerjasama yang terjalin antara Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan syarikat pemegang hak media antarabangsa terkemuka, Media Partners & Silva (MP & Silva), awal tahun lalu.

Lihat Komen
ADS