Hampir AS$1 juta (RM4.14 juta) wang dana Fifa dipercayai hilang secara misteri dari kantung Persekutuan Bola Sepak Guatemala (Fedefut) tahun lalu.

Memetik sumber dan audit dalaman Reuters melaporkan Fedefut menerima AS$1.1 juta daripada Fifa antara Februari hingga Oktober 2015.

Dokumen itu ditandatangani akauntan Fedefut sendiri.

Bagaimanapun dalam pembentangan belanjawan tahun lalu - bernilai kira-kira AS$1.5 juta (RM6.21 juta), hanya kira-kira AS$250,000 wang daripada Fifa dicatatkan.

Ekoran sasatan dan tangkapan pihak berkuasa terhadap pegawai Fedefut bulan lalu, seorang pegawai Fifa ditugaskan mengelola persekutuan berkenaan.

Hasil audit dalaman ahli jawatankuasa Fifa itu satu aduan mengenai kehilangan dana itu difailkan ke peguam negara semalam.

Anggota Jawatankuasa Pusat Fedefut juga tidak dimaklumkan kemasukan dana daripada Fifa yang dibuat secara berperingkat sebanyak sembilan kali itu.

"Maklumat mengenai dana itu disembunyikan," kata sumber berkenaan.

Jenayah mungkin berlaku

Maklumat mengenai hasil siasatan itu akan dibentangkan kepada pegawai Fifa yang dijadual melawat Guatemala minggu depan.

Dalam satu dokumen, pegawai atasan bahagian belanjawan Fedefut, Oswaldo Rolando, mengesahkan badan itu dimaklumkan mengenai deposit daripada Fifa itu.

Bagaimanapun Rolando tidak tahu mengapa butiran mengenainya tidak dicatatkan dalam akaun dan dibentangkan dalam mesyuarat agung Fedefut.

Seorang jurucakap Fifa yang mengelola Fedefut mengesahkan pihaknya mahukan jawapan mengenai isu berkenaan.

"Kami juga mendapati jenayah mungkin berlaku," katanya.

Awal bulan ini polis Guatemala menangkap bekas Presiden Fedefut Brayan Jimenez atas tuduhan rasuah.

Jimenez didakwa mengambil rasuah bersama bekas setiausaha agung persekutuan berkenaan, Hector Trujillo, yang sudah ditangkap di AS bulan lalu.

Kedua-dua mereka menafikan terbabit dalam sebarang salah laku.

- Reuters