Juara MotoGP Dunia musim lepas, Jorge Lorenzo mencatat masa terpantas pada hari pertama sesi ujian rasmi pramusim di Litar Sepang, di Sepang semalam.

Pelumba Sepanyol berusia 28 tahun itu mencatat masa 2:0.684 saat ketika di pusingan ke-32 daripada 37 pusingan yang dilakukan pada sesi berkenaan.

Aksi cemerlang Lorenzo ( gambar ), yang mewakili Movistar Yamaha MotoGP itu, turut diiringi rakan sepasukan, Valentino Rossi dan pelumba Repsol Honda Team, Dani Pedrosa yang masing-masing mencatat masa kedua dan ketiga terpantas.

Rossi berada 1.033 saat di belakang Lorenzo manakala Pedrosa mencatatkan 2:01.780 saat.

"Saya sangat gembira dan terkejut kerana dapat menyesuaikan diri dengan tayar Michelin. Catatan sepusingan juga agak mudah dicapai.

"Setiap kali keluar dari pit, kami menunjukkan peningkatan terhadap jentera selain lebih memahami keadaannya. Ia juga dapat menyesuaikan dengan tayar Michelin itu," kata Lorenzo yang mula mencatatkan masa terbaik sepusingan sejak daripada permulaan.

Ujian pramusim berkenaan diadakan dari pukul 10 pagi hingga 6 petang dan kira-kira 15 minit sebelum sesi itu berakhir, litar mengalami hujan.

Lorenzo berkata ia bukan sesuatu yang mudah untuk beraksi dalam cuaca panas dan kering di Litar Sepang ketika beliau masih kepenatan serta mengalami sakit tekak.

"Hari ini saya hanya tidur dua jam kerana kepenatan mengharungi perjalanan jauh serta sakit tekak sehingga terpaksa mengambil antibiotik. Saya bukan dalam keadaan terbaik...jika saya cergas, saya mampu mengharungi sesi lebih panjang," katanya.

Lorenzo hanya melakukan 37 pusingan pada hari pertama sesi itu.

Sementara itu, Rossi mengakui rakan sepasukannya lebih kuat daripada pelumba lain.

"Kedudukan saya tidak begitu buruk dan kami banyak memberi tumpuan kepada jentera. Ini baru hari pertama dan apa yang penting adalah hasil terkumpul selepas tiga sesi tetapi masih banyak yang perlu kami lakukan.

"Kami tidak berada pada tahap sama seperti musim lepas tetapi tunggangan kali ini agak baik terutama tayar hadapan menunjukkan peningkatan," kata juara dunia tujuh kali itu.

Sesi ujian rasmi pramusim selama lapan jam itu bersambung hari ini.

- Bernama