Faiz Subri mempunyai satu lagi alasan untuk tersenyum lebih lebar hari ini.

Selepas melakar nama yang masyhur di seluruh dunia pemain skuad bola sepak Pulau Pinang itu menerima penghargaan bernilai RM10,000 yang diserahkan ketua menteri Lim Guan Eng.

Wang itu adalah pemberian Pihak Berkuasa Air Pulau Pinang (PBAPP).

Di sidang medianya di Komtar, George Town hari ini Lim berkata kerajaan negeri yakin Faiz akan dipertimbangkan menjadi salah seorang calon penerima Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

Anugerah Puskas diberi kepada penjaring gol tercantik setiap tahun sebelum pemenang anugerah pemain bola sepak terbaik dunia diumumkan setiap tahun.

"Seperti yang anda tahu, prestasi pasukan kebangsaan kita tidak begitu baik dan berada di kedudukan ke-172 dunia," katanya.

Pada masa sama, kata Lim, Faiz meletakkan Pulau Pinang dan Malaysia di peta dunia selepas menjaringkan gol 'ajaib' ketika saingan Liga Super pada 16 Februari lalu.

Ketika itu Pulau Pinang menentang Pahang di Stadium Bandaraya. Perlawanan berakhir dengan kemenangan memihak kepada tuan rumah, 4-1.

Kontrak dua tahun

Faiz sendiri menjaringkan dua daripada empat gol Pulau Pinang.

Dalam sidang media sama Lim berkata, warga Pulau Pinang wajar mencontohi Faiz untuk menjadi hero di peringkat dunia dan bukannya sekadar jaguh kampung.

Menyertai sidang media hari ini ialah jurulatih Pulau Pinang dari Brazil, Jacksen Ferreira Tiago ( gambar ) dan Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (PFA) Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff.

Nazir Ariff pula berkata PFA mendapat dana daripada kerajaan negeri bernilai RM6 juta sebagai sokongan kepada skuad negeri.

Ketika itu, katanya, Pulau Pinang hampir berjaya melangkah ke Liga Super.

Tahun lalu kerajaan negeri menambah peruntukan skuad Pulau Pinang menjadi RM8 juta dan hasil kegigihan pemain dan pegawai pasukan itu berjaya meningkat daripada Liga Perdana ke Liga Super.

"Pulau Pinang berjaya menduduki tempat kedua Liga Perdana tahun lalu.

"Kali ini ketua menteri meluluskan peruntukan RM18 juta untuk kami bersaing di Liga Super," katanya.

Ditanya jika PFA bimbang Faiz akan berpindah ke pasukan lain ekoran persembahan mengagumkan itu, Nazir Ariff berkata, ia tidak menjadi masalah.

"Faiz sudah menandatangani kontrak selama dua tahun dan PFA sentiasa menjaga kebajikan pemain," katanya.