Main, main juga tapi agama jangan dilupa.
Barangkali itu mesej yang cuba disampaikan kepada pemain Muslim Kelantan apabila semua mereka perlu menghadiri kelas membaca al-Quran sebelum turun berlatih.
Ia adalah prosedur baru yang diterapkan Penasihat Kehormat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Seri Hasmiza Othman kepada pemain negeri.
Selepas menjadi penaja utama skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW), Hasmiza mengambil pendekatan kerohanian untuk disuntik di kalangan pemain itu.
"Bagi memastikan keseimbangan dunia dan akhirat, pemain yang beragama Islam diwajibkan menjalani sesi mengaji al-Quran setiap hari sebelum sesi latihan," kata jutawan kosmetik itu.
Hasmiza atau dikenali sebagai Vida berkata, pemain merupakan idola dan ikon kepada peminat.
"Mereka perlu jadi contoh dan teladan. Saya nak ramai remaja khatam Quran banyak kali.
"Pemain pun sama. Kaya di dunia, kaya akhirat. Hebat dunia dan hebat akhirat," katanya dalam kenyataan dimuat naik di Instagram, malam tadi.
Sementara itu, pasukan Kelantan yang kini dikendali jurulatih K Devan berada pada kedudukan keempat Liga Super 2016 selepas mengharungi dua perlawanan.
Setakat ini - dengan satu kemenangan dan satu seri - hanya gawang PQPTRW belum dibolosi lawan berbanding pasukan lain dalam dua perlawanan tersebut.
