Ketua jurulatih JDT, Mario Gomez menasihati pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia supaya memberi tumpuan dalam semua perlawanan sekiranya mahu bergelar juara.

Menurut beliau, sesebuah pasukan bukan hanya perlu beri tumpuan sepenuhnya ketika bertemu JDT semata-mata.

"Untuk bergelar juara anda perlu menewaskan semua pasukan dalam liga dan bukan hanya JDT. Beberapa pasukan dilihat terlalu memberi sepenuh tumpuan untuk menewaskan JDT.

"Setiap kali mereka menentang JDT, seolah-olah perlawanan akhir dan mereka lupa terdapat pasukan lain yang perlu ditempuhi. Itulah sebabnya mereka tidak memenangi sebarang kejuaraan," katanya dalam kenyataan yang disiarkan Facebook Johor Southern Tiger , petang tadi.

Aksi Liga Super malam ini menyaksikan JDT akan dicabar Felda United yang kini mendahului kedudukan liga.

Mengulas pertemuan antara JDT dan Felda United, jurulatih dari Argentina itu menyifatkan hanya tuah yang akan memberi kemenangan kepada pasukan lawan mereka.

"Kali terakhir Felda menang di Larkin, mereka begitu bertuah.

"Pengadil membantu mereka dengan memberikan penalti dalam masa kurang tiga minit perlawanan baru bermula, manakala gol Harris Harun telah dibatalkan. Jika tidak keputusan menjadi 2-1 di pihak kita," jelasnya.

Tambah Gomez, sudah menjadi lumrah bola sepak di mana ia kadang-kadang bergantung kepada nasib baik atau sebaliknya.

"Felda pasukan yang baik namun mereka perlu tahu bahawa tidak mudah untuk menewaskan JDT. Untuk menang di Larkin, anda perlu sangat-sangat bertuah.

"Kebiasaannya tuah tidak datang lebih daripada sekali dalam hidup. Kami akan melakukan yang terbaik untuk peminat dan kelab kami," katanya.

Sementara itu, menurut beliau, JDT sudah mengharungi empat kejohanan dalam musim lalu iaitu Liga Super, Piala Malaysia, Piala FA dan Piala AFC.

"JDT sangat letih kerana mengharungi jadual perlawanan yang sangat padat," jelasnya.