Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM akan mengadakan pertemuan hati ke hati dengan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah esok untuk membincangkan isu pengundurannya daripada jawatan badan induk bola sepak Malaysia itu.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata mereka juga akan menyampaikan secara langsung keputusan jawatankuasa eksekutif yang menolak hasrat Tengku Abdullah meletak jawatan sebagai Presiden FAM.

"Saya mewakili Jawatankuasa Eksekutif FAM akan menghadap Tengku Abdullah esok bagi menyampaikan keputusan tersebut.

"Keputusan sebulat suara untuk bertemu beliau dicapai ahli jawatankuasa eksekutif yang bermesyuarat di Wisma FAM Kelana Jaya Isnin lalu," katanya.

Pada September lepas, Tengku Abdullah menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatan kerena kecewa dengan prestasi skuad Harimau Malaysia dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019.

Hamidin berkata, beliau enggan membuat sebarang andaian mengenai keputusan yang bakal dibuat Tengku Abdullah sebaliknya akan memaklumkan keputusan jawatankuasa terlebih dahulu.

"Ahli-ahli jawatankuasa eksekutif berpendapat kepimpinan Tengku Abdullah masih diperlukan bagi mengetuai FAM selepas beliau dipilih ahli gabungan pada pemilihan Mei 2014.

"Pertemuan antara saya dan Tengku Abdullah ditetapkan esok memandangkan beliau baru saja tiba di tanah air hari ini selepas urusan rasmi di luar negara," jelas beliau.

Tambah Hamidin, pada pertemuan itu nanti beliau akan memperjelaskan secara terperinci hasrat ahli jawatankuasa eksekutif menolak peletakan jawatan tersebut dan menyatakan beberapa alasan yang memerlukan Tengku Abdullah kekal sebagai Presiden FAM.

"Apa juga tindakan susulan daripada Tengku Abdullah akan dimaklumkan kemudian sama ada menerusi kenyataan beliau sendiri atau kenyataan rasmi daripada FAM," katanya.