Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Atlet bina badan negara, Sazali Samad mengakui rutin harian beliau kini berubah selepas digantung selama empat tahun oleh Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM).

Walaupun begitu Sazali masih mengekalkan berdisiplin di gimnasium demi mengekalkan kualiti otot badan.

Untuk itu, katanya, dia meluangkan masa sekurang-kurangnya 45 minit sehari untuk gimnasium.

"Sekarang ini saya lebih banyak menghabiskan waktu dengan melakukan kerja di pejabat. Berbeza ketika belum digantung apabila lebih banyak masa digunakan untuk saya berlatih.

"Ya,setiap hari saya wajib ke gimnasium untuk latihan kerana itu menjadi rutin saya. Saya tetap bersemangat dan fokus untuk menjaga bentuk badan," katanya kepada Malaysiakini di Majlis Pelancaran Anugerah Pilihan Online (APO) anjuran mStar Online di Kuala Lumpur.

APO dianjurkan bersama portal berita mStar Online dan Suria FM yang memberi peluang kepada orang ramai mengiktiraf personaliti dari pelbagai bidang, termasuk hiburan, sukan, fesyen dan perniagaan.

Sesi pencalonan bermula pada 3 hingga 31 Mac manakala pengundian atas talian berlangsung sepanjang April ini.

Pemenang akan diumumkan pada 30 April nanti.

Mulai September tahun lalu, atlet kelahiran Batu Pahat, Johor itu digantung daripada beraksi selepas gagal dalam ujian doping di luar pertandingan yang dijalankan oleh Agensi Anti Doping Malaysia (Adamas).

Keluarga memahami

Sazali yang mengharumkan nama negara sejak kira-kira 20 tahun hanya menyedari makanan tambahan diambilnya mengandungi bahan terlarang selepas Agensi Anti Doping Malaysia (Adamas) mengeluarkan keputusan ujian berkenaan.

Bagaimanapun pengambilan bahan larangan itu dibuat tanpa niat atau disengajakan.

Peluang Sazali dalam arena bina badan masih terbuka kerana selepas tamat tempoh penggantungan nanti dia boleh menyertai kategori senior atau masters.

Menurut Sazali, sebelum digantung lebih banyak masa digunakan di gimnasium kerana dia memang mendapat pelepasan daripada majikannya.

Pada masa sama, keluarga juga memberi dukungan penuh kepada Sazali.

"Alhamdulillah, saya mempunyai keluarga yang begitu memahami dan menyokong apa yang saya lakukan dan terpaksa banyak berkorban dengan status saya sebagai seorang atlet bina badan," katanya.

Juara 10 kali Mr Universe itu kini berharap keputusan rayuan terhadap beliau dipercepatkan agar dapat membuat persiapan untuk menyertai pertandingan yang bakal diadakan kelak.

"Apa yang berlaku sama sekali tidak mematahkan semangat dan disiplin yang sudah tertanam dalam diri saya.

"Saya telah lama korbankan diri saya untuk negara dan saya mahu teruskan," ujarnya yang belum menyatakan hasrat untuk bersama dalam sukan itu.

Menceritakan pengalaman dan cabaran dalam kariernya, Sazali berkata, perkara paling mencabar adalah diet dan mengekalkan disiplin setiap rutin yang perlu dilakukan.

"Antaranya saya terpaksa berpantang ketika orang lain seronok menikmati juadah hari raya bersama keluarga.

"Selain itu disiplin dari aspek latihan dan pengambilan ubat-ubatan dan makanan tambahan. Bukan senang (berdisiplin) tapi saya lakukan dengan motivasi untuk berjaya dalam setiap pertandingan," katanya.

Sementara itu ditanya mengenai harapannya terhadap sukan bina badan, Sazali berkata, negara mempunyai ramai atlet berpotensi untuk diketengahkan ke perigkat lebih tinggi.

Bagaimanapun katanya, atlet muda perlu memberi tumpuan sepenuhnya terhadap disiplin mereka sebagai ahli bina badan dan bersemangat untuk mencapai sasaran.

Dalam pada itu, Sazali berharap rayuannya terhadap tempoh penggantungan itu dapat dikurangkan dengan tempoh lebih singkat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS