Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

"Atlet di negara kita tidak mencecah sejuta orang pun dan di Malaysia hanya ada seorang Watson Nyambek," kata bekas jaguh lompat jauh dan lompat kijang Zaki Sadri.

Bercakap kepada Malaysiakini Zaki berkata walaupun berkongsi sedih dengan nasib menimpa bekas jaguh acara larian 100 meter negara itu, ada juga hikmah terselit pada pendedahan berkenaan.

Sekurang-kurangnya, kata Zaki, kini banyak pihak mula membuka mata untuk melihat, membantu atau sekurang-kurangnya memantau atlet yang pernah mengharumkan nama negara.

"Apakah kita mahu apa yang berlaku kepada Watson berulang?

"Bagaimana pihak berwajib mengambil tahu untuk menjaga kebajikan atlet selepas ini?" katanya.

Sabtu lalu media melaporkan Watson diisytihar muflis selepas gagal membayar pinjaman bank bernilai RM80,000 untuk membiayai kos perubatan bapanya yang menghidap barah.

Notis muflis daripada Jabatan Insolvensi itu tersiar dalam akhbar Borneo Post.

Semalam pemegang rekod larian pecut 100 meter negara itu menyelar wartawan mendedahkan status muflis yang dianggap tidak hormat kepadanya.

Jurulatih untuk Kelab Flying Dayak itu dilaporkan berkata: "Siapa yang perlu rasional, sebagai wartawan tak perlu hormat orangkah?”

Orang kaya juga muflis

Beliau merujuk tulisan di portal Sarawakvoice.com bertajuk “Watson Nyambek perlu rasional, tak perlu ugut wartawan” semalam.

Portal hal ehwal Sarawak itu membela penyiaran laporan itu atas alasan ia dapat membantu Watson menyelesaikan masalah kewangan beliau.

Kata Zaki, kisah masalah kewangan seperti dialami Watson bukan mengaibkan pada pandangan rakan atlet.

Zaki berkata, jika ada pihak yang benar-benar cakna (mengambil berat) terhadap kebajikan atlet negara, beban yang ditanggung Watson itu tidak akan menjadi bahan berita di media.

"Isu muflis ini cuma bukanlah aneh. Ramai lagi orang lain pun diisytihar muflis, termasuk di kalangan individu pernah kaya-raya kerana menanggung beban hutang jauh lebih besar daripada Watson.

"Cuma dalam kes Watson sebab dia legenda negara, maka banyak pihak akan bagi tumpuan.

"Beban (hutang) Watson, mungkin cuma harga sebatang balak di Sarawak," katanya dengan nada berjenaka," katanya.

Pada pandangan Zaki, kes Watson tidak perlu dipandan secara sinis atau prasangka kerana ia melibatkan perbuatan mulia, iaitu melaksanakan tanggungjawab kepada ayahnya .

"Watson sendiri mungkin malu dan atau tidak mahu menyusahkan orang lain," kata pemenang lapan pingat emas di temasya Sukan SEA atara 1980-an dan 1990-an itu.

Menceritakan pengalaman sendiri, Zaki berkata dia sendiri pernah dihubungi bekas atlet dengan hasrat untuk meminta bantuan kewangan.

"Biasalah selepas tidak lagi berstatus atlet negara, kami juga menjalani kehidupan seperti orang lain. Perlu bekerja untuk menyara kehidupan .

"Bila bukan lagi seorang atlet, kebanyakan kita berada jauh dari lingkaran dunia sukan itu sendiri. Masing-masing membawa diri, cuma ada yang bernasib baik diambil bekerja sebagai jurulatih," katanya.

Ditanya altenatif untuk membela nasib bekas atlet, Zaki berkata, setakat ini tiada badan kebajikan yang ditubuhkan khusus untuk bekas atlet olahraga.

"Di Malaysia kita ada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) yang diberi tanggungjawab menjaga kebajikan atlet tetapi ia merangkumi semua acara sukan.

"Mereka mungkin tidak mampu untuk melihat perkembangan bekas atlet lebih-lebih lagi masalah bersifat peribadi," katanya yang kini berkhidmat sebagai Penyelaras Jabatan Korporat Petronas Pantai Timur, di Kemaman, Terengganu.

Lihat Komen
ADS