Pemegang rekod pecut 100 meter negara, Watson Nyambek, diisytiharkan muflis susulan gagal membayar balik pinjaman bank yang dibuat bagi membayar kos perubatan bapanya.
Notis muflis yang disiarkan Borneo Post semalam, dikeluarkan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia bagi mengumumkan statusnya akibat tidak melunaskan pinjaman Bank Islam Malaysia Berhad, lapor Malay Mail Online , hari ini.
Menurut Watson, beliau membuat pinjaman bank berjumlah RM80,000 untuk menampung bil perubatan mendiang bapanya yang menderita barah telinga.
“Barah telinga itu kemudian merebak ke mata. Dia meninggal dunia dua tahun lalu,” katanya dipetik sebagai berkata.
Legenda pecut negara itu berkata, pinjaman dan faedahnya tidak dapat dilunaskan kerana beliau bergaji kecil dengan bekerja jurulatih atlet dengan majlis sukan negeri di Miri.
“Saya juga perlu membayar bil-bil lain,” katanya yang turut membawa perkara itu untuk perhatian seorang menteri kanan Sarawak dua tahun lalu.
“Saya belum menerima sebarang jawapan daripada beliau,” katanya.
Tambah beliau, pinjaman berserta faedah itu kini menjangkau lebih RM100,000.
Pencipta rekod 100 meter dengan catatan masa 10.3 saat 17 tahun lalu itu kini aktif melatih atlet muda termasuk melalui Flying Dayak Club yang diasaskannya.