Razip Ismail kini kendali skuad Tok Gajah
Bekas pengendali skuad Harimau Muda Mohamed Razip Ismail dilantik menjadi ketua jurulatih Pahang menggantikan Ahmad Shaharuddin Rosdi yang meletak jawatan berikutan prestasi buruk pasukan itu dalam Liga Malaysia setakat ini.
Jurulatih berusia 54 tahun yang juga merupakan bekas pemain kebangsaaan serta Kuala Lumpur itu secara rasmi memikul tanggungjawab berkenaan selepas menandatangani kontrak dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) di Kuantan hari ini.
Mohamed Razip yang turut turun padang untuk sesi pengenalan bersama pemain skuad Tok Gajah, berazam memperbaiki prestasi pasukan tersebut yang sebelum ini menjadi antara gergasi bola sepak tanah air.
"Saya akan cuba sebaik mungkin mengubah nasib Pahang yang pada masa ini berada di tangga bawah. Bagaimanapun, saya tetap bangga kerana dapat melatih Pahang," kata Mohamed Razip ketika ditemui selepas sesi suai kenal dengan barisan pemain Pahang.
Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Presiden PBNP Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah atas kepercayaan melantiknya mengendalikan skuad itu.
Mohamed Razip yang pernah menjadi pemain pasukan kebangsaan pada 1984-1989 mempunyai pengalaman menjadi jurulatih Harimau Muda dan Harimau Muda B.
Sementara itu, mengulas mengenai pretasi skuad Tok Gajah ketika ini, katanya kira-kira 90 peratus pemain pasukan itu merupakan pemain muda yang memerlukan bimbingan dan masa untuk membuktikan sesuatu.
"Sehubungan itu saya amat berharap PBNP dapat memberi peluang kepada saya melatih pemain ini sehingga ke akhir musim dan sasaran utama saya adalah untuk mengubah kedudukan skuad ini seterusnya melayakkan diri ke Piala Malaysia.
"Walaupun setakat ini tiada sebarang pencapaian yang disasarkan untuk pasukan ini, saya akan pastikan skuad ini mampu melonjakkan kedudukan dari tangga terbawah Liga Super ke kedudukan sekurang-kurangnya 10 pasukan terbaik untuk mengelak berada dalam zon penyingkiran.
Mengenai kekosongan jawatan penolong jurulatih yang ditinggalkan Azaruddin Aziz, beliau berkata setakat ini masih belum menerima sebarang maklumat tentang perkara itu.
Namun beliau berharap agar pengurusan pasukan dapat meletakkan calon daripada kalangan orang Pahang dan yang biasa dengan skuad itu.
"Pada saya, perlu ada pembantu dalam kalangan orang Pahang, yang kenal dengan pemain supaya lebih mudah untuk berkomunikasi dengan mereka," katanya.
- Bernama

