Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Walaupun Westports Malaysia Dragons kalah pada perlawanan akhir pertama di Kuala Lumpur, namun berbekalkan semangat Malaysia Boleh, wakil negara kembali bernafas untuk merebut kejuaraan ABL selepas mengalahkan Singapore Slingers.

Dragons kini seri 1-1 apabila bangkit memenangi perlawanan akhir kedua dengan mata 83-67.

Prestasi Dragons pula dilihat semakin mantap kerana data Liga Bola Keranjang Asean (ABL) menunjukkan mereka memperoleh purata 100 mata bagi setiap perlawanan.

Dragons juga merupakan pasukan mempunyai jaringan tertinggi berbanding dengan lima pasukan lain dalam ABL kali ini.

Namun, dua perlawanan akhir pada malam ini dan Ahad di Singapura akan menyaksikan pertarungan sengit antara dua pasukan yang terkenal sebagai seteru sejati.

Walaupun tiket perlawanan di Singapura habis dijual, sekurang-kurangnya 250 penyokong Malaysia tetap turun ke Singapura untuk memberi sokongan padu kepada pasukan mereka.

Sementara itu penolong jurulatih Dragons, Shoghi Gan, berkata sorakan penyokong Slingers bukanlah masalah buat pasukan Malaysia.

"Dalam siri perlawanan akhir ini, walaupun stadium bergema dengan sokongan penyokong tuan rumah, ia tidak menjadi halangan buat pemain Dragons.

"Dragons mampu menangani penyokong Saigon Heat di Vietnam yang lebih agresif, maka tiada masalah untuk kami di Singapura.

"Apa paling penting untuk Dragons adalah memenangi perlawanan ketiga dan keempat di Singapura melalui penyesuaian strategi pertahanan dan serangan," katanya.

Pastikan pertahanan kukuh

Dalam perlawanan yang pertama, Dragons terpaksa akur kepada kehebatan Slingers namun Gan yakin, perlawanan seterusnya akan membolehkan pasukan Malaysia beraksi dengan lebih baik.

Loh Shee Fai, 27, selaku pemain kebangsaan negara turut menjadi salah satu faktor perubahan dalam perlawanan lalu dengan jaringan 11 mata, 2 rebounds dan 2 assists. Shee Fai turut menyumbangkan dua jaringan 3 mata.

"Kita mesti mengikuti strategi permainan Dragons. Dengan rotation (penukaran pemain) yang baik, pemain utama kita dapat berehat sekejap. Walaupun Dragons kalah dalam perlawanan pertama dengan Slingers, itu menjadi satu pengajaran buat kami semua sebagai pemain.

"Semua pemain perlu memainkan peranan memastikan barisan pertahanan yang kuat.

"Kita tidak boleh menerima keadaan barisan pertahanan membuat kesilapan ketika seranan diatur bertubi-tubi," katanya.

Dalam perlawanan di Kuala Lumpur minggu lalu, dua pemain Dragons dianugerahi pemain terbaik kategori Asean Heritage dan World Import.

Matthew Wright, 24, pemain kacukan Filipina dari Kanada dianugerahkan pemain ABL Asean Heritage Most Valuable Player (pemain terbaik) manakala Reginald Johnson, 26, dari Amerika Syarikat dinobatkan pemain import dunia terbaik.

Sementara itu, ketua jurulatih Slingers, Neo Beng Siang diiktiraf sebagai jurulatih terbaik Asean, manakala Wong Wei Long dari Slingers, memenangi pemain tempatan ABL terbaik untuk kali kedua.

Christien Charles dari Hi Tech Bangkok City pula dianugerahkan Most Defensive Player (pemain pertahanan terbaik) ABL.

Perlawanan akhir malam ini akan bermula pada jam 8 malam nanti dan akan disiarkan secara langsung di RTM1 dan YouTube rasmi ABL.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS