Banyak kelemahan dikenal pasti lepas aksi di China
Ketua jurulatih skuad hoki wanita negara Muhammad Dharma Raj Abdullah yakin lima perlawanan berdepan pasukan remaja kebangsaan China di Changzhou, meletakkan pasukannya di landasan betul bagi memberi saingan kepada pasukan handalan dunia.
Beliau berkata jelajah berkenaan memberi skuad kendaliannya itu peluang mengukur kemampuan mereka dalam menyesuaikan diri dengan corak baharu permainan.
"Banyak kelemahan dikenal pasti, memberi lebih gambaran terhadap apa perlu dilakukan bagi memperbaiki prestasi pasukan. Kami menerapkan pendekatan menyerang membolehkan pasukan mencipta peluang berkesan dan pukulan sudut penalti pada setiap perlawanan.
"Pemain-pemain mulai yakin terhadap corak permainan baharu ini. Mereka juga memahami keperluan meningkatkan usaha jika mahu bersaing dengan pasukan-pasukan terbaik dunia," katanya dalam kenyataan semalam.
Pada perlawanan terakhir semalam, skuad negara tumpas 0-2 kepada pasukan remaja China, yang menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-31 dan pukulan penalti (minit ke-50).
Malaysia, pemenang pingat emas Sukan SEA 2015 di Singapura, sebelum itu tewas 0-4 dalam aksi pertama pada Selasa lepas, dan kalah 1-2 pada perlawanan kedua, sehari kemudian.
Pasukan kendalian Muhammad Dharma itu terpaksa akur kepada lawan mereka pada aksi ketiga apabila sekali lagi tumpas 1-2, sebelum seri 2-2 semalam, hasil jaringan Siti Shahida Saad dan Siti Noor Amarina Ruhani.
Dalam pada itu, Muhammad Dharma berpuas hati dengan prestasi beberapa pemain, sambil menegaskan mereka bakal muncul sebagai tonggak utama pasukan pada masa hadapan.
"Pemain muda seperti Hanis Nadiah Onn dan Wan Norfaezah Md Saiuti menampilkan prestasi yang cemerlang. Mereka memiliki bakat dan kesungguhan untuk mengukir nama di peringkat antarabangsa.
"Ini menjanjikan masa depan yang baik," katanya.
- Bernama

