Gara-gara tidak berpuas hati dengan keputusan perlawanan dan saling mencabar menyebabkan lima penyokong bola sepak Kuala Lumpur dan Perak cedera dalam kejadian rusuhan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.

Kejadian di penghujung masa perlawanan bola sepak suku akhir kedua Piala FA antara Kuala Lumpur dan Perak itu menyebabkan tiga penyokong tuan rumah berusia antara 19 hingga 35 tahun cedera di bahagian kepala,lengan dan hidung.

Dua lagi mangsa merupakan penyokong Perak berusia 21 tahun cedera di mata, perut dan belakang badan dan dikejarkan ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Ali Ahmad berkata, kejadian berlaku pada jam 10.45 malam ketika permainan hampir tamat dan segelintir penonton beransur meninggalkan stadium.

"Tiba-tiba terdengar bunyi letupan seperti mercun di luar stadium berhampiran pintu nombor 14.

"Bahagian dalam stadium di kawasan tersebut diduduki oleh penonton berbaju kuning (Perak), dan dapat dilihat pergerakan penyokong Perak berlari ke bangku paling atas dan melihat ke luar stadium.

"Kemudian berlaku pergaduhan antara penyokong Kuala Lumpur dan Perak yang berada di luar stadium sehingga mencederakan dua orang penyokong," katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau berkata, kira-kira jam 11.15 malam berlaku satu lagi rempuhan kecil di luar stadium berhampiran susur keluar stadium menghala Selayang Baru ketika penonton bergerak meninggalkan stadium.

"Bagaimanapun, pegawai bertugas termasuk FRU dapat meleraikan pergaduhan sepenuhnya lebih kurang jam 12. 15 tengah malam.

"Setakat ini tiada tangkapan dibuat semasa kejadian dan akan dilakukan selepas beberapa individu telah dikenalpasti," katanya.

Tambah Ali, pihaknya juga belum mengenal pasti senjata yang digunakan dalam kejadian tersebut, manakala kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, perlawanan tersebut menyaksikan pasukan Perak berjaya melangkah ke pusingan separuh akhir apabila menewaskan Kuala Lumpur dengan agregat 2-0.